Perjalanan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Jalan lengang, tidak ada bas-bas persiaran yang diletakkan di bahu jalan membawa ribuan perwakilan dari seluruh negara, tiada kesesakan, tiada polis atau anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) menjaga lalu lintas dan bendera Sang Saka Bangsa hampir tidak kelihatan digantung sepanjang laluan ke PWTC.
Memasuki PWTC, jika tahun-tahun sebelumnya sesak dengan lautan manusia, mahu bergerak pun sukar, bergesel bahu, umpama kesesakan lalu lintas di ibu negara ketika waktu puncak, urusan jual beli pula rancak, namun suasana kali ini sangat berbeza.
Walaupun masih ramai perwakilan yang hadir, namun ‘ruang kosong’ dirasai, tiada kesesakan, media bebas bergerak tanpa perlu memikirkan jalan pintas untuk ke Dewan Merdeka, dewan-dewan perhimpunan sayap, laman media dan sebagainya.
Terdetik di hati, mungkin benar apa yang ‘dibisingkan’ sejak UMNO tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), hayat parti keramat orang Melayu itu semakin tiba ke fasa pengakhiran. Tidak kira sebanyak mana jasanya terutama kepada orang Melayu, tiada lagi kredit diberikan, nampaknya begitulah.
Walau bagaimanapun, persepsi itu berubah sama sekali apabila persidangan bermula. ucapan dasar Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan perhimpunan sayap UMNO menjadi pencetus.
Disusuli ucapan dasar ketua-ketua sayap, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Zahida Zarik Khan yang menyuntik semangat para perwakilan, enggan terus dibuai kekalahan parti. Perbahasan perwakilan sayap pula tetap panas dengan kritikan, sarat dengan cadangan kepada pucuk kepemimpinan.
Sambutan luar biasa yang ditonjolkan ketika ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sehingga membentuk ‘gelombang merah’ dalam Dewan Merdeka dilihat sebagai kemuncak untuk mengukur keyakinan ahli terhadap parti serta pucuk kepemimpinan.
Sesi perbahasan ucapan dasar Presiden juga seperti tahun-tahun sebelumnya diisi dengan pandangan kritikal perwakilan, disulami lawak jenaka sinis yang mempunyai maksud tersirat tetapi fokusnya tepat, mahu UMNO berubah dan bangkit semula.
Kebimbangan pucuk kepemimpinan parti sebelum ini nampaknya tidak berlaku, pandangan sinis pihak di luar parti pula meleset. UMNO terus bersidang dengan sokongan dan kepercayaan walaupun buat pertama kali dalam sejarahnya sebagai parti pembangkang.
Tidak dinafikan, jika diukur kemeriahan di PWTC, ahli UMNO berkemungkinan berkurangan, tetapi itu bukanlah isunya kerana yang diutamakan ialah kualiti dan kesetiaan ahli berbanding kuantiti ahli dimiliki.
Langkah pemulihan telah digariskan, strategi kebangkitan telah direncanakan hasil perhimpunan kali ini. Apa yang diperlukan ialah pelaksanaan, kebangkitan UMNO boleh direalisasikan, masih ada sinar di hujung terowong untuk parti keramat itu.











