Perwakilan kesal pemimpin 'belot’ - Utusan Malaysia

Perwakilan kesal pemimpin ‘belot’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Kesal, kecewa dan marah. Itulah perasaan ahli-ahli UMNO ketika memperkatakan tindakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) yang meninggalkan parti itu selepas UMNO mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, mereka juga menegur pemimpin yang ‘menyepikan’ diri selepas parti tersebut tidak lagi memerintah.

Ketika menjadi pencadang usul ucapan dasar Presiden, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan, mereka yang menyepi diri sebagai Tanggang Moden kerana memaparkan mesej negatif dan melemahkan semangat ahli yang masih memperjuangkan kebangkitan UMNO.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih memeritkan, tegas beliau, pemimpin berkenaan tanpa segan silu memperlekehkan kepemimpinan terkini secara terbuka seolah-olah beliau sahaja yang betul dalam segala segi.

“Kalau dalam undang-undang tentera, askar yang sedemikian boleh dihukum gantung kerana lari daripada perjuangan. Tanggang Moden ini memiliki ilmu pendinding luar biasa dan amat mudah untuk dipelajari, jampi atau mantranya satu perkataan sahaja iaitu demokrasi yang disebut sebanyak tujuh kali,” katanya.

Wanita pula mendesak Pre­siden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak menerima semula golongan yang telah meninggalkan parti.

Malah, wakil pergerakan itu, Latteffah Aliyaru Kunju berkata, pucuk pimpinan perlu memastikan golongan itu tidak boleh menjadi ahli UMNO selama seumur hidup mereka.

“Biarlah kita berdikit-dikit dalam mengharungi masa susah ini bersama, ahli-ahli yang setia bersama parti sahaja yang patut dijulang sebagai pejuang. Inilah masanya kita mengenali pejuang sejati.

“Saya yakin dan percaya pucuk pimpinan akan bertegas dalam hal ini dan perlu mengemas kini Perlembagaan UMNO untuk dikenakan tindakan kepada pengkhianat parti demi memartabatkan UMNO dan orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Dewan Merdeka digamatkan dengan seloroh Wakil UMNO Kedah, Noran Zamini Jamaluddin yang menyarankan supaya pe­mimpin yang meninggalkan parti itu untuk berlakon dalam filem ‘Munafik 3’.

Sambil meniru mimik suara bapa kepada pengarah filem itu, Datuk Yusof Haslam, Noran Zamini berkata, bekas pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang ‘pandai berlakon’ sangat sesuai dengan tajuk filem itu.

Noran berkata, pemimpin yang mahu lompat parti atau keluar daripada UMNO dipersilakan untuk berbuat demikian tetapi mereka diingatkan supaya tidak memperlekehkan perjuangan UMNO.

“Ada yang sudah hampir 40 tahun dalam UMNO, dapat pelbagai manfaat sebab jadi ahli UMNO, sekarang parti ini kalah dan anda nak keluar parti, anda kata parti ini tidak relevan?

“Di atas dunia anda boleh beri macam-macam alasan, tetapi nanti di akhirat, anda perlu jawab kepada Allah SWT mengapa anda meninggalkan perjuangan untuk agama dan bangsa ini,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini