KUALA LUMPUR 30 Sept. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempercepatkan proses menyenarai hitam nama pesalah lalu lintas yang kebiasaannya mengambil masa sehingga enam bulan hingga bertahun-tahun.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, langkah itu diambil berikutan sikap pesalah trafik yang terus berdegil enggan membayar saman bagi kesalahan lalu-lintas yang dilakukan.
Menurutnya, apa yang lebih dikesalkan peluang yang diberikan pihak berkuasa tempatan melalui kadar khas kompaun serendah RM20 kepada orang ramai tidak dimanfaatkan.
Beliau berkata, tindakan itu juga dapat mengurangkan jumlah tunggakan kompaun seperti mana yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pihak kami akan mengadakan perbincangan dengan JPJ bagi mempercepatkan proses senarai hitam kepada pesalah. Kelewatan dikenakan tindakan menyebabkan mereka memandang ringan mengenai perkara tersebut.
“Jangan ingat kami tidak buat apa-apa. Selepas lesen dan cukai jalan tidak boleh diperbaharui mungkin boleh menyedarkan dan memberi pengajaran kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian mengenai sikap pesalah trafik yang terus berdegil tidak melunaskan bayaran kompaun tertunggak.
Tambah Ibrahim, sebanyak 4, 742 pesalah lalu lintas telah disenarai hitam sejak tahun 2013 sehingga Ogos tahun ini.
“Tindakan itu bukanlah sebagai hukuman kepada masyarakat tetapi salah satu cara untuk mendidik mereka agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
“Mereka patut sedar pelbagai masalah akan timbul jika melanggar peraturan. Buang sikap pentingkan diri sendiri,” katanya.











