PERGILAH ke mana saja, pasti persoalan tentang perubahan fizikal tubuh badannya dibangkitkan. Berulang kali juga dia menjawab panjang lebar tentang pertanyaan tersebut.
Namun persoalan yang sama tetap dibangkitkan jika bertemu pihak lain. Yang jelas, rata-rata tidak percaya tentang perubahan berat badan pelakon Atikah Suhaimi, 27, ini.
“Saya bengang apabila masih ada pihak yang mendakwa saya mengambil barangan terlarang. Takkanlah sebab saya kurus, kelihatan bertenaga, saya dituduh sebegitu.
“Hello, saya tak mainlah ‘barang-barang’ ini. Saya bersih daripada segala aktiviti tidak bermoral,” tegas Atikah berhubung perubahan tubuh badannya yang semakin langsing itu.
Bintang filem Pencuri Hati Mr. Cinderella ini menyedari khabar angin itu mula bertebaran sejak dua tahun lalu. Pada ketika namanya dikaitkan dengan cerita panas yang memalukan itu.
Bagaimanapun pada waktu itu, Atikah enggan mengambil pusing. Lebih baik berdiam diri. Tetapi sangkaannya meleset apabila perkara yang tidak betul semakin diperbesar-besarkan.
Apa yang dikesalkan apabila khabar angin yang tidak betul itu dipercayai segelintir pihak. Oleh itu, pelakon drama Si Kolot Suamiku bangkit menyatakan kebenaran.
“Saya tidak akan berputus asa dalam usaha mengubah persepsi orang ini. Saya juga tidak takut dikritik sebab beria-ia. Ini adalah kebenarannya,” tegasnya lagi.
Perubahan tubuh Atikah yang semakin langsing menjadi perhatian ramai sejak setahun lalu. Ditambah dengan imej rambut pendek yang ditampilkan mendorong khabar angin ini meluas tidak lama kemudian.
DIET ORANG MALAS
SEBENARNYA, bintang filem My Stupid Boss ini mengamalkan pemakanan vegetarian sejak dua tahun lalu. Segala bahan makanan berasaskan daging ayam tidak diambil langsung.
Sumber tenaga hariannya itu hanya diperoleh daripada makanan berasaskan sayur-sayuran serta buah-buahan. Cuma bezanya, menu makanan bertukar mengikut seleranya sendiri.
“Saya sangat berkira dengan setiap makanan yang masuk ke dalam perut. Makan hanya ketika lapar. Dilarang langsung menyentuh snek makanan untuk menahan lapar.
“Diet ini untuk orang malas seperti saya. Tak payah bersenam tapi kekal langsing dengan mengawal sumber makanan ke dalam badan,” ujarnya.
Satu lagi perkara penting dalam penyediaan amalan vegeterian adalah kreativiti agar menu harian tidak bosan. Memasak turut digalakkan dalam amalan dietnya itu.
BERDEBAR
MENGUBAH topik perkahwinannya dengan penyanyi Awi Rafael, Atikah mengakui dia berdebar menghitung hari besarnya yang bakal berlangsung Mac tahun depan.
Untuk itu, bintang filem Longkai ini akan menyelesaikan urusan kerjaya seninya sebulan sebelum fokus urusan perkahwinan. Dia tidak mahu tergesa-gesa pada saat-saat akhir.
“Masa pula bergerak terlalu cepat. Dalam tempoh lima bulan lagi, saya bakal bertukar status. Macam-macam yang bermain di fikiran saya.
“Kami tak mengharapkan gelaran wedding of the year sebab perkahwinan itu nanti ringkas saja. Apa yang penting, kita sama-sama berkongsi momen kegembiraan itu,” ujarnya.
Pasangan selebriti yang berasal dari Singapura ini bertunang pada 17 Mac lalu. Berita pertunangan mereka amat memeranjatkan kerana tidak menyangka mereka berdua sudah berkawan rapat.











