Hey
Havana, ooh na-na (ay)
Half of my heart is in Havana, ooh-na-na (ay, ay)
He took me back to East Atlanta, na-na-na
All of my heart is in Havana (ay)
LIRIK lagu Havana nyanyian Camila Cabello, penyanyi kelahiran Cuba-Amerika Syarikat ini mendapat tempat istimewa di hati para penggemarnya di seluruh dunia.
Lagu ini memang bercerita tentang kota kebanggaannya, Havana, Cuba yang terletak di kepulauan Carribean.
Havana sebenarnya tetap dikenali umum walaupun Camila menambahkan lagi populariti ibu negara Cuba itu yang sering disebut dengan ‘El Caiman’ atau ‘El Cocrodilo’ (dalam bahasa Sepanyol bererti buaya). Jika dilihat melalui pesawat dari udara, daratan Cuba menyerupai reptilia itu.
Republik Cuba sebenarnya sebuah negara yang cukup menarik untuk dilawati. Apabila bercerita tentang Havana, segera terlintas di fikiran kita tiga perkara utama yang menjadi subjek perbualan ramai terutama kaum lelaki, tidak kira berada di penjuru mana dunia.
Pertama tentang diktator negara itu, bekas Presiden Cuba, Fidel Castro. Kedua sahabat Castro itu sendiri yang juga tokoh revolusioner yang berasal dari Argentina, Ernesto Guevara yang terkenal dengan nama ‘Che Guevara’ di seluruh dunia, sebagai ikon anti kapitalis berhaluan kiri.
Ketiga pastinya, curut atau cigar ‘Cohiba’, jenama Habanos yang paling eksklusif di dunia yang sudah berusia lebih 50 tahun.
Ketiga-tiga subjek ini menjadikan ‘Havana’ begitu eksklusif di mata peminatnya.
Sesudah 50 tahun Che Guevara dijatuhi hukuman mati pada 1967 oleh agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) iaitu CIA. Namun ikonik anti kapitalis itu seolah-olah masih hidup, dipuja sampai sekarang di Cuba. Wajah ‘Che Guevara’ yang berjanggut sejemput sambil memakai baret tentera itu menjadi simbol perjuangan kelompok revolusioner bahkan dipuja ramai anak muda di seluruh dunia.
Potretnya yang berbentuk mural atau ilustrasi terpampang di mana-mana saja di segenap kota Havana. Beliau masih menjadi ikon dan sumber inspirasi pemberontak di Mexico, Cuba dan Guatemala.
Che Guevara memulakan perjuangannya anti kapitalisme di Guatemala dan Mexico. Semasa Revolusi Cuba, beliau berjuang menggunakan taktik gerila dan berjaya menumpaskan Fulgencio Batista, pemimpin boneka tajaan Amerika Syarikat.
Semasa regim pemerintahanya bersama Castro di Cuba, mereka bersama-sama menggagalkan ancaman serangan tentera AS di Teluk Bay of Pigs.
Selain tiga ikonik itu, jangan lupa Cuba juga tempat tokoh sasterawan kelahiran AS, Ernest Hemingway yang terkenal dengan novelnya The Old Man and the Sea.
Bagi penggemar kereta vintaj, Havana adalah destinasinya. Anda berpeluang menaiki kereta vintaj berjenama yang tidak pernah terlintas di fikiran kita bakal dinaiki seumur hidup.
Bagi pengemar curut, anda perlu tahu bahawa Christopher Columbus merupakan orang pertama menemukan pokok tembakau lalu beliau mempopularkannya di AS. Semasa menulis dalam sebuah jurnal, Columbus kecewa kerana pulau yang baru ditemui bukanlah India, China, atau Jepun kerana tidak memiliki apa-apa kekayaan.
Namun, kaum lelaki di pulau itu memperkenalkan kepada Columbus aktiviti membakar dan menghisap rokok dari daun yang mereka namakan ‘Cohiba’. Penemuan tembakau daun tersebut rupa-rupanya telah mengubah kehidupan penduduk di pulau itu lalu bertukar menjadi kekayaan yang lebih berharga daripada emas, intan dan hasil mahsul lainnya.
Nama Cohiba kekal sebagai curut terbaik jenama keluaran Habanos paling eksklusif selain Romeo Julietta dan Monte Cristo yang menjadi kegilaan golongan bangsawan dan kaki curut di seluruh dunia.
Berita baik bagi mereka yang teringin melawat Cuba, bahawa Malaysia adalah antara 10 buah negara di dunia yang tidak memerlukan visa untuk melancong ke negara itu malah kita boleh berada di Cuba selama 90 hari menikmati keindahan negara di kepulauan Carribean itu sepuas-puasnya.











