KUALA LUMPUR 30 Sept. – Tempoh perkhidmatan Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 berakhir hari ini.
Siapa yang akan menjawat jawatan `kerusi panas’ itu terus menjadi tanda tanya.
Utusan Malaysia difahamkan, terdapat tiga nama yang dicalonkan bagi mengisi jawatan tersebut.
Menurut sumber, antara nama yang disebut-sebut ialah bekas Yang Dipertua sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan dua individu lagi yang bukan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia turut difahamkan, individu yang bakal mengalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu itu juga mempunyai banyak pengalaman dalam hal ehwal pentadbiran.
Semalam, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, teka-teki tersebut akan terjawab pada Selasa ini.
Awal bulan lalu, Khalid menyerahkan nama tiga individu yang dicalonkan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan notis peletakan jawatan Mhd. Amin Nordin. – UTUSAN ONLINE











