Jangan terlibat PRK Port Dickson - Mohamad - Utusan Malaysia

Jangan terlibat PRK Port Dickson – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Sept. – UMNO mengarahkan jentera parti itu di bahagian Teluk Kemang supaya tidak terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa arahan berkenaan adalah selaras dengan keputusan parti itu yang memboikot PRK tersebut walaupun ada yang menyokong calon tertentu.

“Sebagai jentera di bahagian, mereka tidak boleh mengambil bahagian kerana kita memboikot PRK tersebut atas asas kita tidak suka cara PRK itu diadakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu sebab kita kena betul-betul faham perkataan boikot,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sebelum ini, calon bebas PRK tersebut, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mendakwa pemimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang merestui beliau bertanding di Port Dickson.

Mohd. Isa adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dalam PRK tersebut, Mohd. Isa akan menentang calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar (Pas) dan empat lagi calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Mohd. Hasan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bagaimanapun berkata ahli parti itu bebas memilih sesiapa sahaja dalam PRK pada 13 Oktober ini.

Tambahnya, parti itu belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap ahli UMNO yang turun berkempen pada PRK tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini