KUALA TERENGGANU 30 Sept. – Karnival Pantai 2018, dahulunya dikenali sebagai Pesta Pantai masih mengekalkan pembinaan bangsal-bangsal melatari kawasan pantai sebagai simbol warisan tradisi libur penduduk masa silam.
Karnival yang dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri berlangsung selama tiga hari di pantai Batu Burok di sini yang menarik kira-kira 20,000 pengunjung, berakhir malam tadi dengan penutupan karnival disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, dan sempena majlis itu juga penyampaian hadiah bagi bangsal tradisi terbaik yang dipertandingkan antara daerah turut dilakukan.
Daerah Kemaman muncul sebagai johan pertandingan itu dengan mengetengahkan konsep Taman Alam Desaku yang menggabungkan elemen dasar laut di samping nostalgia zaman dahulu dan produk asli daerah.
Wakilnya, Khairu Anuar Yasin berkata, idea tercetus daripada perbincangan bersama antara petugas Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman dan Majlis Perbandaran dengan pihaknya mengambil masa kira-kira 12
jam untuk menyiapkan keseluruhan hiasan bangsal tersebut.
“Kita turut membawa perahu lama di samping peralatan menangkap ikan. Selain itu, kami menggunakan 50 batang pokok nibong dan 50 pasu pokok hiasan pelbagai jenis.
“Pengunjung berpeluang mengimbau nostalgia Kemaman sekitar tahun 1970-an termasuk permainan tradisi, bangunan dan persekitaran serta produk-produk terkemuka yang menjadi identiti daerah menerusi 15 gambar yang dipaparkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Tempat kedua dimenangi Dungun manakala Kuala Terengganu (ketiga), Setiu (keempat), Besut (kelima), Hulu Terengganu (keenam), Marang (ketujuh) dan Kuala Nerus (kelapan).- UTUSAN ONLINE











