KUALA LUMPUR 30 Sept. – Akhbar Utusan Malaysia yang ketika ini berdepan dengan cabaran getir perlu terus dipertahan serta dibela kerana ia merupakan ‘lidah’ dalam menyuarakan kepentingan bangsa, agama dan negara.
Seruan bagi mempertahankan Utusan Malaysia itu terutamanya oleh ahli UMNO sendiri, dilaungkan para perwakilan dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2018 bagi memastikan kelangsungannya terus berkekalan.
Wakil UMNO Selangor, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika membuat seruan itu berkata, orang Melayu terutamanya ahli UMNO perlu tampil menyokong akhbar tersebut pada sebilangan masa.
“Pada situasi masa kini, kekalahan kita adalah daripada segi menangani media sosial yang mana fitnah lebih dipercayai. Sekiranya kita tidak pertahankan Utusan Malaysia, siapa lagi yang hendak mewakili kita selepas ini.
“Hari ini, saya berbangga apabila membuka Utusan Malaysia, muka hadapan masih lagi menceritakan tentang perhimpunan ini. Jadi, kita tidak boleh tinggalkan kawan-kawan kita,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











