PORT DICKSON 30 Sept. – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya menolak desakan pihak tertentu yang mahu perkahwinan sama jantina diiktiraf di negara ini.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, golongan yang memperjuangkan agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) tidak sepatutnya memaksa pihak lain menerima pandangan mereka.
“Apa yang mereka buat, kita tak tau, dia dengan tuhan.
“Tetapi nak paksa kita terima kahwin sesama jenis, kita tolak,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Maal Hijrah di Masjid Jamek Pasir Panjang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Zulkefly Mohamad Omar. – UTUSAN ONLINE











