SRI AMAN – Menteri Kerja Raya, Baru Bian berpuas hati dengan perkembangan semasa pembangunan Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini.
Beliau berkata, hasil pemerhatiannya setakat ini, semua pakej pembangunan yang sedang dalam pembinaan berjalan dengan baik.
“Saya difahamkan ada sedikit kelewatan di satu dua tempat tetapi masalah itu tidak serius.
“Setakat ini, perkembangannya sangat memuaskan dan diharap dapat dikekalkan supaya boleh disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui di Pakej 4, Simpang Pantu-Batang Skrang di sini tadi.
Menurutnya, beliau juga mengingatkan pihak Lebuh Raya Borneo Utara (LBU) untuk menasihatkan semua kontraktor terlibat mengenai peletakan tanda-tanda amaran di sepanjang jalan.
Katanya, ini berikutan, beliau ada menerima aduan mengenai perkara tersebut yang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran trafik.
“Justeru, saya tekankan di sini untuk memastikan kerja-kerja pembinaan jalan tidak mengganggu trafik,” ujarnya.
Jelasnya, beliau sendiri memahami cabaran yang dialami kontraktor dan LBU namun mengharapkan agar tiada lagi aduan serius selepas ini. – K! ONLINE











