PORT DICKSON 29 Sept. – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dianggap gelanggang pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menyaksikan beliau dicabar enam calon lain.
Dua calon yang mencetuskan kejutan dalam PRK itu ialah bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69, dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33, yang masing-masing bertanding calon Bebas.
Turut bertanding ialah calon Pas, Mohd. Nazari Mokhtar, 57, dan tiga lagi calon Bebas iaitu Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yan, 51, dan Kan Chee Yuen, 45.
Seorang ahli perniagaan, A. Ragendra yang tiba kira-kira empat minit sebelum tempoh menghantar borang ditutup pada pukul 10 pagi, bagaimanapun ditolak pencalonannya.
Proses penamaan calon yang bermula pada pukul 9 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini sedikit tegang selepas ratusan penyokong Anwar berasak-asak dan cuba memasuki kawasan penamaan calon.
Bagaimanapun, situasi itu dapat dikawal oleh pasukan keselamatan yang berjaya menyuraikan penyokong terbabit.
Semasa tempoh bantahan, Pas menyerahkan surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempersoalkan kelayakan Anwar bertanding dalam PRK tersebut.
Ia ada kaitan dengan pengampunan penuh yang diterimanya daripada Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Azhar Azizan dalam sidang akhbarnya memaklumkan, suruhanjaya itu menolak bantahan tersebut dan membenarkan Anwar bertanding.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan pada 12 September lalui bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan seterusnya ke Dewan Rakyat.











