RAFIZI LEBIH LAYAK - Utusan Malaysia

RAFIZI LEBIH LAYAK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN suatu yang rahsia lagi bahawa Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), DATUK
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL berada dalam kem Mohd. Rafizi Ramli yang bertanding jawatan
Timbalan Presiden parti itu.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tanpa berselindung menyatakan Mohd. Rafizi lebih layak untuk jawatan nombor dua dalam parti, bukan sahaja kerana mempunyai idea-idea baharu, malah atas peranan besar yang dimainkan sehingga membawa kepada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto, SAIFUL BAHARI ASHARI di pejabatnya di Putrajaya, Saifuddin turut mengulas tentang kekecohan yang berlaku dalam pemilihan parti di Kedah dan Pulau Pinang baru-baru ini.

 

Memuatkan artikel berkaitan…

MINGGUAN: Boleh Datuk komen tentang proses pengundian PKR yang kecoh baru-baru ini? Apakah isu yang berlaku?

SAIFUDDIN: Kami mengenal pasti tiga perkara yang menyebabkan berlakunya masalah.

Yang pertama daftar keanggotaan. Ada yang kata sudah lama dalam parti dan pernah mengundi tetapi tiba-tiba namanya hilang misalnya di Bayan Baru yang pengundinya ramai. Mungkin ada 15 hingga 20 nama hilang ketika proses memindahkan nama. Kalau kes seperti itu berlaku mereka diminta mengisi borang 11 dan mengundi di tab yang berasingan. Macam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga, yang mereka panggil ‘undi ragu’ tetapi yang ini dipanggil ‘pengundi ragu’.

Undian macam ini tidak automatik masuk pengiraan tetapi perlu disemak oleh pihak audit terlebih dahulu. Keputusan awal tidak dianggap muktamad sehingga ia diperaku oleh pihak yang mengaudit.

Yang kedua pemilihan parti ini bukan macam Pilihan Raya Umum (PRU) yang ada polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sebagainya yang mengawal. Dalam pemilihan PKR yang boleh masuk hanya pengundi dan pengawas, calon-calon Ketua Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK). Tetapi yang berlaku hari itu yang datang ramai dengan penyokong masing-masing. Kawalan masih ada kelemahan.

Yang ketiga adalah sistem yang ada kelemahan misalnya, baru-baru ini ada calon yang dapat kosong (undi). Rupa-rupanya pada nama calon itu ada kesilapan ejaan pada namanya menyebabkan sistem tidak dapat membacanya dalam sesuatu undian yang dibuat. Untuk itu, kami akan buat mesyuarat dan minta dibuat laporan misalnya tentang data keanggotaan dan sebagainya. Selepas dikenal pasti apa yang berlaku, kami meletakkan petugas teknologi maklumat (IT) di setiap cabang supaya tiada masalah timbul. Tetapi dari aspek disiplin anggota juga kena kawal. Sebab itu sewaktu di Johor pihak polis diminta membantu dan mengenal pasti kawasan hot spot. Dalam hal ini golongan yang terbabit telah diminta memastikan sistem yang ada diperbaiki dan ada jaminan pemilihan seterusnya boleh diteruskan.

Ada calon mendakwa wujud unsur sabotaj. Atau kelemahan sistem pengundian cara itu yang kurang diberi perhatian?

SAIFUDDIN: Ada dua perkara dalam isu ini, pertama soal telahan yang mengatakan ada elemen sabotaj. Apa yang berlaku hari itu adalah kedua-dua pihak yang bertanding boleh melihat sendiri apa yang berlaku seperti individu membuat kekerasan dengan membaling kerusi dan sebagainya.

Ia mungkin berlaku apabila bilangan penyokong yang datang sedikit berbanding calon lawan. Jadi kekecohan sengaja dicetuskan supaya pemilihan ditangguhkan. Kedua tentang sistem iaitu siapakah yang membuat keputusan e-voting? Jawapannya ialah semua pihak yang terbabit.

Apabila keputusan telah dibuat ia perlu dipertahankan dan bukan dikecam. Semua pihak harus faham bahawa keputusan menggunakan e-voting adalah keputusan bersama. Kalau Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) ada kelemahan ia boleh dibaiki dan bukannya ‘tembak’ di luar.

Kalau sistem itu lemah dan tiada pembetulan dibuat, kita mahu cadangkan apa sebenarnya? Hentikan e-voting ataupun balik kepada cara manual? Atau tahu hendak ‘balun’ sahaja. Sedangkan kepimpinan perlu selesaikannya. Ada atau tidak masalah? Ada. Kita tidak nafikan. Jadi, adakah ditegur? Ya ada. JPP pun sudah ambil langkah. Caranya cuba sistem itu.

Mungkinkah pemilihan di saat-saat akhir di beberapa negeri nanti akan mencetuskan masalah?

SAIFUDDIN: Ahli PKR paling ramai di Selangor dan kedua teramai di Sabah. Maknanya hampir 300,000 ahli PKR ada di dua negeri ini. Negeri lain macam Perak, Pulau Pinang, Sarawak dan Kedah pula mempunyai ahli antara 50,000 hingga 70,000. Jadi, kalau dapat kuasai Selangor dan Sabah sudah cukup kuasai parti.

Di Kuala Selangor dan Serdang antara yang mempunyai ramai ahli kami. Ramai ini maknanya lebih 15,000 dalam satu cabang. Maka ketegangannya akan lebih lagilah. Sebab itu kita tekankan aspek disiplin tetapi kita hanya boleh nasihat dan syorkan. Tetapi isunya bagaimana mahu melaksanakan disiplin itu dalam suasana yang ‘membahang’ misalnya.

Sebab itu, ‘isyarat’ kita hantar bagi yang baling kerusi itu perlu dipecat dahulu, walhal prosedur parti perlu terima aduan, siasat, masuk dalam lembaga disiplin dan sebagainya. Isyarat yang kita mahu hantar, kalau begini cara kamu, tempat kamu bukannya dalam parti ini.

Kenapa tidak dibuat pemilihan secara serentak atau keputusan disimpan untuk diumumkan pada satu tarikh lain?

SAIFUDDIN: Dalam isu ini, isunya adalah logistik. Kalau mahu buat untuk lebih 800,000 ahli dalam satu hari dalam 30 cabang yang memerlukan sembilan minggu. Kalau buat pemilihan serentak persediaan logistik, dana dan tenaga sangat besar. Yang idealnya keupayaan kita adalah mengikut apa yang ada dalam sistem sekarang. Kata orang ukur baju di badan sendiri. Ia dibincang dalam pimpinan parti. Ia ada kebaikan dan kelemahan.

Dahulu masa pemilihan manual kita buat macam itu juga. Ia juga sama macam apa yang kita buat semasa PRU lalu. Kami belajar banyak perkara seperti pondok panas, tumpuan pengundi, peraih undi dan banyak lagi elemen yang kami pelajari sebelum ini. Tetapi kalau kita tambah elemen ketegangan maka ia akan jadi sesuatu yang dibimba- ngi.

Sebagai Setiausaha Agung, adakah Datuk berkecuali dalam pemilihan ini?

SAIFUDDIN: Saya ada dalam parti sejak hari mula PKR ditubuhkan. Antara pengasasnya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Chandra Muzaffar, Fuziah Salleh, Tian Chua, Datuk Johari Abdul, Datuk Marina Yusoff dan ramai lagi. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masa itu tidak ada lagi. Orang lupa itu.

Dalam parti politik, kalau kita selesa dengan siapa pun kita tidak boleh sembunyikan. Betul saya Setiausaha Agung tetapi dalam kerja-kerja parti saya memang cenderung bekerja dengan Mohd. Rafizi Ramli. Saya tidak isytihar pun orang ramai sudah tahu.

Semasa kempen Invoke di seluruh negara yang Mohd. Rafizi buat, ketika itu di mana ada Saifuddin, di situ ada Mohd. Rafizi. Selama bertahun-tahun Mohd. Rafizi membangunkan data besar menggunakan ramalan matematik dalam Invoke Malaysia yang ada pangkalan data.

Beliau tubuhkan pusat panggilan yang mengenal pasti penyokong Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan yang ‘atas pagar’. Dia akan kempen di tempat-tempat yang menjadi fokusnya. Kami bekerja dalam kawasan marginal (kalah tipis) ini begitu lama secara bersama-sama.

Mohamed Azmin ketika itu Menteri Besar Selangor dan fokusnya mempertahankan Selangor. Tumpuan Mohd. Rafizi pula mahu memenangkan kawasan marginal dan dengan cara itu barulah PH boleh tubuhkan kerajaan. Ini kerana pada 2008, kami hilang 25 kerusi untuk tubuhkan kerajaan.

Sebab apa? Sabah dan Sarawak tidak boleh ‘tembus’, isu Felda tidak boleh ‘tembus’ , kawasan yang ada pengundi awal tentera seperti Setiawangsa pun tidak boleh tembus.

Pada masa itu, Mohamed Azmin kata Selangor mesti dipertahankan dan Putrajaya nombor dua. Sedangkan Mohd. Rafizi kata kita mesti menang di kawasan marginal. Beliau mahu semua yang bertanding di kawasan marginal mesti ditolong kecuali di Kelantan dan Terengganu kerana kami tiada kawasan marginal di sana.

Kami menang semua kerusi kecuali di Sembrong dan Padang Rengas yang PKR bertanding. Saya dan Rafizi juga antara yang menjadi ‘juru runding kerusi’ PKR dalam pakatan. Berunding dengan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).Setahun berunding kerusi. Saya, Nurul Izzah Anwar dan Mohd. Rafizi wakil PKR. Apabila berunding kami lebih menghayati.

Orang kata Setiausaha Agung sepatutnya ‘neutral’ dalam pemilihan kali ini dan tidak boleh sokong mana-mana. Saya kata dalam pemilihan sekarang, parti memerlukan orang nombor dua yang betul-betul membantu Presiden dan parti dengan idea-idea baharu serta ada kelainan iaitu menghasilkan sesuatu yang lebih baik.

Sudah tahu kurang undi tetapi buat kerja yang sama sahaja. Mohd. Rafizi tampil dengan kelainan. Beliau juga satu aset yang besar dalam parti dan patut berada dalam kedudukan nombor dua. Ramai anggota parti tahu tentang perkara itu walaupun tanpa saya berkempen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini