Bottas terpantas pada GP Rusia - Utusan Malaysia

Bottas terpantas pada GP Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOCHI – Pelumba Petronas, Valtteri Bottas agresif ketika meraih petak depan apabila mencatatkan masa terpantas 1 minit 31.387 saat (s) untuk menewaskan rakan sepasukan, Lewis Hamilton di kedudukan kedua pada sesi kelayakan masa pada Grand Prix (GP) Rusia di Litar Antarabangsa Sochi malam tadi.

Bottas, 29, yang pertama kali meraih petak depan di litar tersebut berjaya mencatatkan masa 1:31.528s pada percubaan pertama pada sesi kelayakan ketiga dengan meninggalkan Hamilton 0.004s di belakang.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Finland itu berjaya mengukuhkan kedudukan pada percubaan terakhir untuk memulakan saingan di petak depan hari ini dengan kelebihan 0.145s di depan Ha­milton yang terpaksa akur menduduki petak kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, pesaing Hamilton dalam perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) dari Ferrari, Sebastian Vettel akan memulakan saingan di petak ketiga, manakala rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen pula di tempat keempat.

“Ia satu pusingan yang baik apabila saya mampu meningkatkan sedikit kepantasan pada percubaan terakhir. Saya berasa sangat bagus kerana ia memerlukan tumpuan sepenuhnya.

“Saya benar-benar gembira meraih petak depan. Ia merupakan langkah pertama, namun ia laluan panjang untuk tiba ke selekoh pertama pada perlumbaan esok,” kata Bottas.

Sementara itu, Hamilton me­ngucapkan tahniah kepada Bottas yang meraih petak depan dan menyifatkan rakan sepasukannya itu layak memandangkan dia mempamerkan pemanduan yang hebat.

“Keadaan litar hari ini sangat baik dan cuaca juga bagus. Namun, percubaan saya pada sesi kelayakan ketiga tidak begitu bagus,” katanya.

Sementara itu, Vettel yang ketinggalan 40 mata di belakang Hamilton sudah pastinya mahu mengubah situasi pada perlumbaan nanti kerana hanya tinggal 150 mata maksimum untuk diraih pada baki enam perlumbaan musim ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini