WANITA itu dilihat memegang sebatang berus dengan hujung mata yang cukup halus dan mencelupnya ke dalam larutan pewarna yang dibancuh dengan air.
Dengan berhati-hati, hujung berus yang telah dicelup dengan pewarna itu kemudian digerakkan ke atas permukaan sehelai kertas putih mengikut lakaran yang telah dilukis terlebih dahulu dengan menggunakan pensel.
Jelas terlihat raut wajah wanita berkulit sawo matang itu begitu serius semasa proses mewarnakan lakaran itu dibuat, bimbang jika tersalah calit dan merosakkan lukisan yang dihasilkan.
Manakan tidak, lukisan yang dilakar dalam bulatan dengan diameter cuma sebesar 30 milimeter di atas permukaan kertas putih bersaiz segi empat sama itu sememangnya memerlukan ketekunan tinggi buat pelukisnya.
Wanita tersebut, Siti Fariza Ahmad Basri, 31, sememangnya bukan sahaja berbakat, malah juga kreatif dalam menghasilkan karya berupa lukisan miniatur, iaitu lukisan bersaiz kecil.
Siti Fariza atau lebih mudah ditegur Fariza memberitahu, berdiri di atas jenama farizabasri.art, lukisan miniatur yang dia hasilkan bukanlah perkara baharu terutamanya di luar negara berbanding di Malaysia kerana tidak ramai yang membuat lukisan miniatur.
“Di Malaysia, karya seperti lukisan kanvas atau lukisan potret lebih dikenali dan diterima berbanding miniatur kerana saiz lukisannya kecil,” kata wanita berasal dari Alor Setar, Kedah itu.
Warisi bakat
Bagaimanapun, Fariza menegaskan bahawa, walaupun lukisan miniatur memiliki saiz lukisan yang sungguh kecil, karya seni itu kelihatan cukup unik dan menarik untuk dijadikan dekorasi pada kediaman mahupun pejabat.
Berbicara lebih lanjut, wanita yang juga ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu memberitahu, dia mula menjinakkan diri menghasilkan kerja lukisan miniatur sejak tahun 2014 selepas mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Sebelum ini, Fariza bekerja di salah sebuah syarikat televisyen berbayar sebagai pereka grafik, namun mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada keluarga terutama selepas mempunyai cahaya mata.
“Selepas berhenti kerja, saya berniat untuk menceburi bidang perniagaan dan belajar menjahit dan menghasilkan pakaian kanak-kanak untuk dijual,” kata Fariza.
Pada masa sama, Fariza juga sebenarnya memendam keinginan untuk berkarya iaitu dengan melukis kerana kerja seni itu sememangnya sangat dia minati dan mempunyai bakat yang diwarisi daripada arwah bapanya.
Jelas Fariza, arwah bapanya, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil, yang juga merupakan bekas pengurus pasukan bola sepak Kedah suatu ketika dahulu, mempunyai bakat terpendam dalam seni melukis dengan menyertai kelab Angkatan Pelukis Kedah sekitar tahun 1990-an.
“Jadi sedikit-sebanyak, arwah ayah ada menurunkan bakatnya kepada saya dalam seni melukis dan hasilnya dipersembahkan melalui lukisan miniatur ini,” dakwanya.
Walaupun nampak rumit, bagi Fariza, lukisan miniatur yang dia hasilkan merupakan satu terapi buat dirinya, malah berasa lebih tenang berbanding bekerja di pejabat.
Fariza bertuah apabila minatnya turut disokong oleh suami tersayang, Abdul Muiz Abdul Halim, 35, apabila lelaki itu juga membantu mengembangkan lagi karya yang dihasilkan daripada segi promosi memandangkan dia mempunyai pengalaman kerjaya dalam bidang pemasaran.
Dakwa Abdul Muiz, lukisan miniatur yang dihasilkan isterinya banyak menyentuh tentang kehidupan masyarakat sehari-hari seperti makanan, minuman, keadaan sekeliling, pemandangan, monumen dan bangunan.
“Penghasilan karya-karya seperti ini membuatkan masyarakat berasa dekat dengan lukisan tersebut kerana ia menyentuh kehidupan seharian mereka,” kata Abdul Muiz.
Antara karya menarik yang dihasilkan adalah secawan kopi, bungkusan nasi lemak, kuih baulu, jambatan Pulau Pinang, kapal terbang dan beberapa gambar pemandangan menarik.
Untuk menghasilkan lukisan miniatur berkonsepkan pemandangan misalnya, Fariza mendakwa dia perlu berada atau mungkin pernah melihat sesuatu pemandangan itu dengan matanya sendiri untuk menjiwai dan merasai suasana dan keadaan sesuatu tempat itu sebelum ia dipersembahkan ke layar kertas.
Lukisan sukar
Sebelum ini Fariza banyak menghasilkan karya melalui imaginasi ketika berada di dalam rumah, namun tidak dapat menjiwai karya yang dihasilkan.
“Rasa rasa duduk di rumah sahaja adalah perkara yang tidak sihat dan saya perlu keluar untuk merasai sendiri objek yang hendak saya lakarkan,” katanya yang memilih Zoo Negara sebagai tempat pertama dia mendapatkan ilham.
Untuk menghasilkan sesebuah lukisan miniatur juga tidak memerlukan waktu yang terlalu panjang. Seperti Fariza, dia hanya memerlukan masa cuma sekitar lapan jam sahaja untuk menyiapkan satu lukisan dan hanya memperuntukkan empat lukisan dalam seminggu.
Bercerita tentang karya paling sukar yang pernah dihasilkan, Fariza memberitahu lukisan miniatur paling susah adalah lukisan sewaktu Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman sedang melaungkan kata keramat ‘Merdeka’ di Stadium Merdeka pada tahun 1957.
Jelasnya, dia mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan lukisan miniatur tersebut kerana memerlukan ketelitian tinggi bagi mendapatkan hasil seperti gambar sebenar.
Menggunakan barangan asas iaitu pensel, pensel warna , warna air, berus lukisan dan kertas lukisan jenis kapas tanpa asid yang rata-ratanya dibeli dari luar negara, Fariza memberitahu, sebenarnya jenis peralatan yang digunakan sama ada mahal atau murah tidak mempengaruhi karya yang dihasilkan.
“Yang penting adalah teknik dan kemahiran seseorang pelukis itu mencurahkan idea di atas kertas.
“Jika seseorang itu mementingkan kesempurnaan, pasti hasil yang diperoleh juga sepadan dengan usahanya,” kata Fariza.
Melihat pada karya lukisan miniatur yang dihasilkan melalui kanta pembesar, jelas menunjukkan Fariza merupakan seorang yang sangat mementingkan kekemasan melihat pada perincian kecil yang terhasil dalam lukisan.
Karya lukisan miniatur yang dijual dibuat dalam dua bentuk iaitu lukisan asli dan juga lukisan cetakan berserta tandatangan dengan harga berbeza dan didatangkan bersama dengan bingkai kayu iaitu kayu balau untuk lukisan asli dan bingkai kayu getah untuk lukisan cetakan.
“Alhamdulillah, hasil karya saya pernah dipamerkan dalam satu pameran di Amsterdam, Belanda dan Paris, Perancis.
“Bahkan saya merancang mudah-mudahan satu hari nanti karya saya ini dapat dipamerkan dalam satu pameran khas di Malaysia,” ujar Fariza menutup bicara.











