JAKARTA 29 Sept. – Agensi Geofizik Indonesia (BMKG) memaklumkan pihaknya telah menarik balik amaran tsunami dalam tempoh 34 minit selepas kali pertama dikeluarkan ekoran gempa bumi kuat yang mencetuskan ombak besar di Palu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 384 orang.
BMKG kini berhadapan kritikan dalam media sosial dengan banyak pihak mempersoalkan tindakannya yang terlalu awal menarik balik amaran tsunami.
Agensi itu memaklumkan pihaknya telah mematuhi prosedur operasi standard dan `menamatkan’ amaran itu berdasarkan data yang diperoleh daripada pengesan pasang surut air yang paling hampir iaitu kira-kira 200 kilometer dari Palu.
Ketua Pusat Tsunami dan Gempa Bumi BMKG, Rahmat Triyono berkata, pihaknya tidak mempunyai data pemantauan di Palu.
“Justeru kami terpaksa menggunakan data yang diperoleh dan menarik balik amaran berdasarkan data tersebut,’’ katanya.
Menurut beliau, alat tolok pasang surut air yang mengukur perubahan paras laut hanya merekodkan ombak berukuran enam sentimeter, tidak termasuk ombak besar dekat Palu.
“Jika kami mempunyai alat tolok dan data lengkap di Palu sudah tentu kami memperoleh data yang lebih baik. Perkara ini perlu kami nilai semula untuk masa depan,’’ katanya.
Tidak dipastikan sama ada tsunami yang dikatakan pihak berkuasa menghentam Palu dan kawasan sekitar pada kelajuan beratus-ratus kilometer sejam, berlaku sebelum atau selepas amaran ditarik balik.
“Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, kami menjangkakan tsunami itu berlaku sebelum amaran itu ditarik balik secara rasmi,’’ kata Rahmat. – Reuters











