Port Dickson 29 Sept. – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk saling membantu mengukuh pentabdiran dan politik negara.
Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson itu berkata, secara khusus beliau bersama Lim Kit Siang akan menjaga Parlimen tanpa sebarang jawatan.
Menurut beliau, Perdana Menteri pula akan memberi tumpuan kepada pentadbiran negara.
Bagaimanapun, kata Anwar beliau tetap membantu penduduk Port Dickson termasuk memajukan lagi pelancongan kawasan tersebut dan pada sama tidak mengabaikan kemudahan perumahan untuk penduduk golongan pertengahan serta miskin.
Oleh itu beliau menyeru rakyat supaya memberi sokongan kepada Dr. Mahathir.
“Saya telah maafkan Dr. Mahathir kerana memenjarakan saya. Pukul saya, saya maafkan, tetapi saya tidak boleh maafkan pemimpin curi duit rakyat.
“Duit yang dicuri daripada rakyat harus dipulangkan dan inilah cabaran pentadbiran Dr. Mahathir,” kata Anwar ketika ceramah perdana pertama di PRK Port Dickson, malam ini. – UTUSAN ONLINE











