BASRA 29 Sept. – Amerika Syarikat (AS) menegaskan akan menutup pejabat kedutaannya di sini dengan alasan peningkatan ancaman dari Iraq dan tentera yang disokong Iran.
Dalam satu kenyataannya, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata kesemua petugas kecuali petugas kecemasan akan dipindahkan ke Baghdad.
Beliau mengulangi amaran terdahulu bahawa Iran akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang bahaya kepada rakyat dan kemudahan AS.
Basra menempatkan lebih dua juta penduduk dan telah menyaksikan bantahan keras sejak beberapa minggu lalu, lapor portal BBC.
Pompeo yang menuduh Iran gagal menghalang serangan roket baru-baru ini yang dikatakan dituju ke arah pejabat kedutaan turut berkata, terdapat `peningkatan ancaman yang khusus’ terhadap rakyat dan kemudahan AS di Iraq.
Keputusan AS itu dibuat ketika ketegangan memuncak di Iran selepas Presiden Donald Trump mengenakan semula sekatan ekonomi terhadap Teheran berikutan penarikan diri AS daripada perjanjian nuklear 2015.
Dalam pada itu Kementerian Luar Iraq melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan AS untuk memindahkan petugasnya di Basra.
Sementara itu semasa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kedua-dua pihak saling mencemuh dengan Penasihat Keselamatan Negara Trump, John Bolton memberi amaran Iran akan menanggung akibat yang sangat buruk jika menganggu kawasan AS.
Awal bulan ini, penunjuk perasaan di Basra membakar bangunan kerajaan dan politik termasuk pejabat kedutaan Iran serta ibu pejabat pasukan separa tentera yang disokong Iran selepas beberapa orang terbunuh dalam pertempuran dengan pihak polis.
Bantahan di bandar itu tercetus akibat kemarahan orang awam terhadap infrastruktur yang buruk, pencemaran air dan kekurangan pekerjaan di kawasan yang menghasilkan minyak mentah terbesar Iraq.
Selain itu mereka turut membantah apa yang disifatkan sebagai kawalan Iran terhadap hal ehwal tempatan.
habis.











