Vokal UiTM Chamber Choir jadi duta Malaysia di mata dunia - Utusan Malaysia

Vokal UiTM Chamber Choir jadi duta Malaysia di mata dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMERDUAN suara sekumpulan pelajar yang juga ahli kumpulan koir UiTM Chamber Choir (UCC) yang bergema di segenap penjuru Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam lewat petang itu dapat didengar dengan jelas sebaik kaki melangkah masuk ke ruang legar bangunan tersebut.

Kagum dengan keseragaman vokal pelajar-pelajar tersebut, bulu roma kami tidak semena-mena mula meremang. Biarpun tidak mengetahui bait-bait lirik lagu yang didendangkan oleh kumpulan itu, namun bibir kami mula kumat-kamit mengikuti irama muzik yang sedang dinyanyikan.

Hampir 10 minit mencari arah datangnya bunyi suara itu, langkah kaki kami terhenti di hadapan salah sebuah bilik kuliah yang terdapat di fakulti tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelibat seorang pemuda Jepun yang sedang memberikan arahan melalui gerakan tangan kepada sekumpulan pelajar dapat dilihat di sebalik daun pintu.

Menyedari kehadiran kami di luar bilik kuliah, lelaki yang merupakan konduktor koir UCC merangkap Pensyarah Kanan di fakulti itu, Dr. Masashi Kishimoto mempersilakan kami masuk untuk melihat sendiri sesi latihan sedang dijalankan bersama anak didiknya.

Mendengarkan kemerduan suara tersebut, tidak hairanlah jika kumpulan koir ini meraih kemenangan besar dalam pertandingan Musica Eterna Roma International Choir Festival & Competition yang dianjurkan di Rom, Itali pada 14 Julai lalu. Seraya itu, perasaan kagum mula terbit dalam jiwa kami.

Selain berjaya merangkul pingat emas bagi kategori campuran, mereka juga berjaya memenangi beberapa kategori lain iaitu tempat pertama bagi kategori lelaki dan wanita, selain menerima anugerah khas persembahan terbaik dan mendapat markah keseluruhan yang tertinggi.

Siapa sangka, kehebatan gabungan vokal milik 30 pelajar universiti tempatan yang dipertaruhkan di persada antarabangsa itu berjaya menewaskan 49 pasukan dari 14 negara lain seperti Taiwan, Hong Kong, Belgium, Indonesia, Ireland, Britain, Itali, Croatia dan Afrika Selatan.

Kejayaan yang dirangkul oleh pelajar-pelajar itu bukan sahaja berjaya mengharumkan nama universiti, malah ia juga secara tidak langsung mengangkat nama negara di mata dunia.

Mereka bukan sekadar menyanyikan lagu-lagu Melayu klasik, malahan turut mengenakan pakaian tradisional rakyat di negara ini termasuk baju Melayu, ceongsam dan pakaian etnik Dayak.

Tokoh siswa

Tidak hairanlah jika sejak memperoleh kemenangan berganda dalam pertandingan berkenaan, berita mengenai kumpulan koir yang dianggotai sekumpulan remaja tempatan ini tular di seluruh negara hingga ke hari ini.

Bukan itu sahaja, kejayaan tersebut melayakkan mereka menerima anugerah tokoh siswa daripada Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Kishimoto berkata, UCC ditubuhkan pada tahun 2015 olehnya selepas melihat bakat dan keunikan vokal yang ada pada para pelajar di fakulti ini.

“Biarpun begitu, kumpulan koir ini hanya disertai oleh 30 orang pelajar terpilih sahaja. Setiap tahun, kami akan membuat sesi pemilihan dan menapis dengan ketat setiap pelajar yang ingin menyertai UCC.

“Mana-mana pelajar yang berjaya melepasi kriteria suara yang diinginkan sahaja akan dipilih. Disebabkan saringan ketat, kumpulan ini berjaya menang beberapa kategori dalam pertandingan tersebut,” jelasnya.

Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab untuk melatih dan menggubah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan tersebut pada pertandingan itu.

Dalam pertandingan yang berlangsung selama dua minggu itu, Kishimoto berjaya menyusun dan menggubah sebanyak 25 lagu untuk dipertandingkan dalam tiga kategori berbeza.

Rata-rata lagu yang dipilih menggabungkan muzik dari seluruh dunia seperti Soleram yang diambil dari Nusantara, Benggong lagu etnik masyarakat Borneo, Karimata nyanyian masyarakat Jepun serta sebuah lagu kontemporari dari Amerika Syarikat yang berjudul Ask Me No More.

Biarpun susunan lagu yang dipilih nampak mudah, namun menurut Kishimoto, dia mengambil masa hampir satu tahun untuk memilih lagu berdasarkan kesesuaian suara pelajar, selain sesuai untuk dipertandingkan.

Ternyata, sentuhan magis dan pengalamannya yang luas dalam nyanyian koir melayakkan kumpulan tersebut menerima kemenangan besar dalam pertandingan itu.

Dalam pada itu, menurut Presiden UCC, V. J. Sanny Jahin, 24, memadu suara dalam satu kumpulan yang besar bukanlah satu perkara mudah.

Biarpun masing-masing ditugaskan untuk menyanyi mengikut ton suara yang ditetapkan, namun, nyanyian yang dihasilkan perlu seragam dan senada apabila didengar.

“Dalam kumpulan koir ini kami mempunyai pelbagai ton suara. Untuk mendapatkan ton yang matang merupakan satu perkara yang mencabar dan memerlukan latihan yang banyak.

“Biasa, nyanyian koir memerlukan gabungan empat jenis suara iaitu soprano, tenor, alto dan base. Ia kemudian terbahagi kepada beberapa kategori seperti suprano nada tinggi, rendah dan lain-lain lagi.

“Biarpun berbeza ton, namun kami perlu memastikan nyanyian yang dibuat senada dan seirama supaya tidak sumbang didengar umum,” jelasnya.

Di sebalik kejayaan yang ditempa oleh kumpulan anak muda ini, mungkin ramai yang tidak sedar kesemua mereka bekerja keras untuk mendapat kemenangan yang diimpikan oleh setiap peserta yang bertanding.

Latihan intensif

Menurut seorang ahli UCC, Maryann Magdalena Linnis, 25, disebabkan masa yang terlalu suntuk, mereka hanya mengambil masa selama tujuh bulan untuk menghafal 25 lagu, selain menjalani latihan vokal dengan penuh disiplin.

“Setiap minggu kami perlu menjalani latihan sebanyak tiga kali yang mana setiap sesi memperuntukkan waktu lebih dua jam bersama pensyarah.

“Biarpun begitu, biasanya sebelum latihan bersama pensyarah dilakukan, kami akan berlatih sesama sendiri mengikut kumpulan tona suara yang telah ditetapkan oleh konduktor,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut gadis yang juga merupakan pembantu konduktor ini lagi, bukan sekadar memerlukan disiplin yang tinggi, sebagai pelajar, mereka juga perlu bijak membahagikan waktu antara pelajaran dan latihan.

Menurut gadis kelahiran Kota Marudu, Sabah ini lagi, selain latihan mingguan, mereka juga akan melakukan latihan intensif selama seminggu kira-kira dua bulan sebelum memasuki pertandingan bagi memastikan setiap pelajar benar-benar bersedia untuk beradu suara.

Menariknya, latihan tersebut biasanya akan dijalankan selama 11 jam.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan stamina yang kuat ketika bertanding, mereka juga perlu menjalani senaman yang teratur seperti berjoging kira-kira dua kali seminggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini