SERIKIN 29 Sept. – Seorang lelaki tempatan disyaki penagih dadah ditahan semasa cuba menyeludup sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) ke Indonesia melalui sempadan Serikin-Kalimantan Barat, di sini pagi tadi.
Suspek berusia 26 tahun ditangkap oleh sepasukan anggota tentera dari Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD) pada pukul 7.05 pagi.
Pegawai Memerintah 4 KAD, Left. Kolonel Shamzaini Misran berkata, lelaki terbabit dipercayai menerima upah daripada sindiket curi kereta untuk menyeludup 4WD tersebut.
“Pasukan saya telah menerima maklumat daripada pihak polis sehari sebelum penahanan dibuat.
“Berdasarkan maklumat, terdapatnya sebuah 4WD jenis Land Crusier Prado telah dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan di sini petang ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil maklumat tersebut, pihak tentera telah membuat rondaan berkenderaan ke laluan yang sering digunakan oleh penyeludup untuk membawa keluar kenderaan dan barangan melalui sempadan.
Beliau berkata, hasil penahanan suspek, pihaknya turut merampas wang tunai RM10,000 dan peralatan menghisap dadah bersama lelaki berkenaan.
Katanya, suspek bersama kenderaan dan barang rampasan telah diserahkan ke Balai Polis Bau untuk tindakkan lanjut. – UTUSAN ONLINE











