Kesedaran masyarakat tentang risiko aktiviti di air masih rendah - Utusan Malaysia

Kesedaran masyarakat tentang risiko aktiviti di air masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Tahap kesedaran masyarakat di negara ini tentang risiko aktiviti di air masih rendah walapun bilangan mangsa lemas menunjukkan peningkatan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kejadian mati lemas bukan sahaja berada pada tahap membimbangkan malah insiden tersebut turut menggugat kesejahteraan awam.

Menurut beliau, penganjuran kempen dan pendidikan secara strategik di bawah Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) harus diperhebat sebagai usaha menyuntik kesedaran dalam diri setiap individu untuk menyebarkan mesej kepentingan keselamatan di air.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian lemas antaranya akses yang tidak terkawal ke kawasan merbahaya, kekurangan pengetahuan mengenai keadaan air, kecuaian, pengabaian keselamatan termasuk kekurangan penyeliaan daripada ibu bapa dan penjaga.

“Justeru, penganjuran kempen seperti ini harus lebih memberi fokus terhadap golongan kanak-kanak, remaja serta belia dalam usaha untuk melahirkan komuniti yang bijak menangani isu keselamatan di air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2018 di Pulau Warisan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Tambah Raja Kamarul Bahrin, statistik yang dikeluarkan oleh JBPM menunjukkan insiden mati lemas meningkat daripada 260 kes pada 2016 kepada 327 kes tahun lalu.

Katanya lagi, antara bulan Januari sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 194 insiden lemas direkodkan dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 44 kes diikuti Sarawak (34 kes), Perak (22 kes), Pahang (21 kes), Kelantan (20 kes) serta Sabah (18 kes). – K! ONLINE

bomba
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan demonstrasi menyelamat di air menggunakan helikopter pada majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air peringkat negeri di Pulau Warisan di sini hari ini. Gambar : Farid Janudin
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini