KUALA LUMPUR 29 Sept. – Dua pusat hiburan di Jalan Gelang, Pudu dan Jalan Sultan Ismail di sini disita dan diarahkan tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.
Arahan penutupan di bawah Akta Hiburan 1992 itu dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu serbuan operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) di sekitar ibu negara malam tadi.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, kedua-dua premis berkenaan juga didapati beroperasi melebihi tempoh waktu ditetapkan selain menjadi sarang maksiat dalam kalangan pengunjung.
“Pemilik premis perlu buktikan mereka mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi semula,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.
Op BAH siri ke-47 diketuai DBKL itu turut disertai 16 agensi kerajaan termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan seramai 379 anggota penguat kuasa. – UTUSAN ONLINE











