194 insiden mati lemas sehingga Ogos - Utusan Malaysia

194 insiden mati lemas sehingga Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 29 Sept. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 194 insiden mati lemas di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Raja Kamarul Bahrin Shah
RAJA KAMARUL BAHRIN

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah bimbang tentang kemungkinan insiden yang sangat menyayat hati itu terus melonjak berbanding tahun lalu.

Raja Kamarul Bahrin berkata, insiden mati lemas mencatatkan peningkatan ketara, daripada 260 kes pada tahun 2016 kepada 327 kes tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau memberitahu, pada kebiasaannya kejadian lemas seumpama itu berlaku melibatkan sungai, tali air, pantai kawasan air terjun, tasik, longkang serta kolam renang.

“Terdapat beberapa faktor menyebabkan kejadian lemas seperti akses tak terkawal di kawasan badan air yang berbahaya, kekurangan pengetahuan mengenai keadaan air selain kecuaian, pengabaian keselamatan dan sebagainya.

“Berdasarkan statistik, ramai mangsa yang mati lemas terdiri daripada yang bukan berasal dari lokasi kejadian. Kadangkala di luar kemampuan kita jangka kehadiran kepala air atau fenomena arus tempatan yang berbahaya,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin Shah menyatakan perkara itu ketika melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Terengganu di Pulau Warisan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zamri Salleh; Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Edwin Galan Teruki dan Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Dalam sidang akhbar selepas itu, beliau turut menarik perhatian bahawa JBPM telah mengenal pasti kawasan panas melibatkan insiden mati lemas di seluruh negara iaitu 12 kawasan berisiko tinggi dan 34 kawasan berisiko.

Jelasnya, 12 kawasan berisiko tinggi itu melibatkan sungai-sungai, empangan, air terjun serta pantai di Sabah, Selangor, Kelantan, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini