Mayat lelaki ditemukan terapung di muara Kuala Kedah - Utusan Malaysia

Mayat lelaki ditemukan terapung di muara Kuala Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 29 Sept. – Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan terapung di kedudukan kira-kira 1 kilometer (km) barat muara Kuala Kedah, di sini hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan tentang penemuan mayat itu oleh anggota polis dari Balai Polis Kuala Kedah di sini kira-kira pukul 10.35 pagi.

“Mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri tersebut ditemukan seorang nelayan berusia lingkungan 40-an yang melalui kawasan perairan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah kemudian menggerakkan sebuah bot bersama empat anggota ke lokasi berkenaan.

“Satu mayat lelaki yang dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh kurang 24 jam berjaya ditemui dan dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berhubung kehilangan ahli keluarga.

“Kita minta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga agar menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

Tambahnya, mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini