ALOR GAJAH 29 Sept. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka masih dalam keadaan terkawal dan diyakini tidak akan mengikut jejak langkah jirannya di Negeri Sembilan yang terpaksa dibubarkan berkuat kuasa serta-merta kelmarin.
Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd. Redzuan Yusof berkata, walaupun ada yang menyebarkan maklumat bahawa kononnya berlaku keretakan atau pergaduhan dalam parti itu di negeri ini namun ia tidak sedikit pun menggugat kekuatan parti itu.
“Keadaan Bersatu di Melaka terkawal, saya sebagai ketua badan pimpinan negeri terpaksa mengawal lebih ketat tetapi apa yang dilaksanakan adalah kita menjalankan urusan parti mengikut Perlembagaan dan dasar yang termaktub dalam parti.
“Biasalah, suami isteri pun mesti bergaduh (wujud pertengkaran), inikan pula mereka yang tidak ada apa-apa hubungan, jadi saya sifatkan kes yang berlaku sebagai terpencil dan kita dari dahulu lagi memantau semua ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Siswa (KUS 1.0) anjuran Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini hari ini.
Beliau yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan ditanya mengenai kekecohan yang berlaku dalam satu mesyuarat parti itu di kawasan Hang Tuah Jaya baru-baru ini.
Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembubaran serta merta seluruh kepemimpinan parti itu di Negeri Sembilan dan dua bahagian di Selangor kerana masalah ‘warlord’ (ketuanan), nepotisme, sikap pandai-pandai sendiri dan ingkar arahan parti.
Menurut Mohd. Redzuan, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat unsur salah laku dalam kejadian tersebut namun akan membuat siasatan lanjut sebelum mengambil sebarang keputusan.
“Kita pandang serius sebarang kes salah laku, mungkin jika perlu kita akan panggil orang yang terlibat dalam kejadian itu dan kalau perlu kita akan bubarkan sesuatu bahagian tetapi semua ini kita buat mengikut Perlembagaan dan dasar parti,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE











