KOTA BHARU – Seramai 1,055 peserta menyertai acara ‘Kelantan Subaru Fun Ride 2018’ sejauh 35 kilometer anjuran Subaru Mayazia Motorsport di perkarangan Aeon Mall, di sini hari ini.
Pengarah Urusan Syarikat Mayazia Auto Sdn. Bhd., Datuk Kisham @ Khairul Othman berkata, penganjuran julung kali itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Pada awalnya kita hanya membuka kepada 500 penyertaan sahaja namun kita terpaksa membuka lebih lagi penyertaan selepas ramai pihak menyatakan keinginan untuk memyertainya sejak dibuka kira-kira dua bulan lalu.
“Jadi pada hari ini kita mencatatkan seramai 1,055 peserta yang bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat malah turut mendapat penyertaan daripada penunggang luar negeri,” katanya di sini hari ini.
Para peserta dilepaskan pada pukul 8 pagi oleh Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan bermula dari perkarangan Aeon Mall melalui pusat bandar Kota Bharu sebelum ke Pengkalan Chepa dan berpatah balik ke pusat beli belah tersebut.
Program itu turut mendapat kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Kisham berkata, program kayuhan itu diadakan bagi mempromosikan kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester.
“Para peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah dua buah motosikal, 10 buah basikal selain merasai pengalaman memandu uji model Subaru Forester ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











