KUALA LUMPUR 28 Sept. – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi RM300 juta daripada Clare Rewcastle-Brown, Gerakbudaya Enterprise dan Vinlin Press Sdn. Bhd. kerana mendakwa baginda terlibat dalam konspirasi dengan ahli perniagaan Low Taek Jho berkaitan skandal 1MDB dalam buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’.
Surat tuntutan telah dihantar Khamis lalu kepada ketiga-ketiga pihak berkenaan yang merupakan Pengasas dan Editor Sarawak Report, penerbit buku dan pencetak yang menuntut setiap mereka membayar RM100 juta.
Peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata, sebarang tuntutan yang bakal diberikan oleh mahkamah akan didermakan kepada badan kebajikan.
“Rewcastle-Brown diberikan tempoh lapan hari dari 27 September untuk memberikan surat penarikbalikan secara bertulis yang jelas serta didedahkan kepada umum dan juga permohonan maaf secara bertulis dengan syarat-syarat sebagaimana diluluskan oleh peguamcara Sultanah Terengganu.
“Beliau juga harus memberikan satu akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Haaziq berkata, Gerakbudaya dan Vinlin Press Sdn. Bhd. turut diberikan tempoh lapan hari dari tarikh yang sama untuk berbuat demikian.
Pada 14 September lalu, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu telah mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Sultanah Nur Zahirah sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA). – UTUSAN ONLINE











