ADUN Chenderoh, isteri cedera kemalangan - Utusan Malaysia

ADUN Chenderoh, isteri cedera kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH 28 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor dan isterinya cedera setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 329, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 6.20 pagi itu berlaku ketika Zainun, 62, dan isterinya, Datin Sabariah Wahab bersama sembilan ahli UMNO Bahagian Padang Rengas dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

Zainun ketika ditemui di Hospital Pantai, Ipoh berkata, beliau bersyukur apabila tidak mengalami sebarang kecederaan serius, selain hanya luka kecil di bahagian kaki dan sakit di dada semasa bernafas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ketika kejadian, beliau tidak menyedari kehadiran lori tersebut yang berada di tengah lebuh raya dan hanya sedar ketika kereta yang dipandu telah hampir pada kenderaan tersebut.

“Saya dan isteri nampak objek putih tapi tidak tahu itu adalah lori kerana hari masih gelap. Saya cuba memberhentikan kenderaan, namun tidak sempat dan terus merempuh lori tersebut.

“Kereta Proton Exora yang dipandu pemandu saya juga tidak sempat mengelak dan terus melanggar kereta saya,” katanya yang akan menjalani pemeriksaan imbasan di Hospital Pantai bersama isteri.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu, kemalangan tersebut menyebabkan beliau dan semua ahli UMNO Padang Rengas yang terlibat dalam kemalangan terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertai perwakilan lain dalam Perhimpunan Agung UMNO yang bermula malam ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan tersebut membabitkan kereta jenis Honda CRV dipandu Zainun dengan lori muatan forselin dan Proton Exora.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini