KUALA LUMPUR 28 Sept. – Hala tuju UMNO ialah untuk menjadi kerajaan.
Itu merupakan jawapan Presiden parti, DatuK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerisauan ahli-ahli berikutan dakwaan UMNO tiada hala tuju yang jelas.
Kata Ahmad Zahid, bagaimana kaedah mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah tugas kepemimpinan parti untuk menentukannya.
“Itu tugas saya, Timbalan Presiden, Naib, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Pengerusi Perhubungan Negeri, Ahli Majlis Tertinggi untuk bersama-sama melakukannya.
“Dalam perkara ini kerisauannya bukan hanya kepada kaum Melayu, saya sendiri pun risau sebab bukan mudah untuk menguruskan sebuah parti yang menjadi pembangkang sekarang. Mungkin agak mudah kalau kita menguruskan parti yang menjadi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama UMNO Online yang disiarkan dalam laman portal itu bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang bermula hari ini.
Sebelum ini Ahmad Zahid dilaporkan berharap penubuhan kerajaan perpaduan antara UMNO dengan mana-mana parti politik dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat direalisasikan segera.
Idea itu telah ditolak oleh DAP apabila Timbalan Pengerusi Kebangsaannya, Gobind Singh Deo menegaskan tiada keputusan pernah dibuat dalam PH berhubung usaha tersebut.
Walau bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini memberitahu cadangan atau usaha mewujudkan kerajaan perpaduan bersama pembangkang khasnya UMNO akan dibincangkan selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pulang ke tanah air. – UTUSAN ONLINE











