SHAH ALAM 28 Sept. – Pelbagai aktiviti menarik menanti warga bandar raya ini sempena ulang tahun ke 18 yang jatuh pada 10 Oktober ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program pertama adalah majlis bacaan yasin dan doa selamat pada pukul 11.30 pagi (5 Oktober) di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16; Shah Alam Enduride 2018 di Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam pada 7 Oktober ini bermula 7 pagi.
“Bagi pencinta bunga, kita turut mengadakan Pameran Anggerik dan Pasar Bunga bermula 11 sehingga 14 Oktober ini.
“Seperti biasa, program Hari Tanpa Kenderaan akan diadakan pada 14 Oktober di Dataran Kemerdekaan. Bagi memeriahkan sambutan ulang tahun, MBSA turut mengadakan kejohanan Shah Alam Soccer Kids pada 20 Oktober bermula 8 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Shahrin memberitahu, bagi melicinkan sistem penyampaian, pihaknya akan mengadakan Hari Mesra MBSA 2018 yang memberi peluang kepada orang ramai berurusan berkaitan pihak berkuasa tempatan itu pada 20 Oktober ini.
Katanya lagi, MBSA turut menganjur Karnival Sukan Bendang Majlis Perwakilan Penduduk di Taman Botani Negara, Seksyen 8 di sini pada 21 Oktober ini bermula 8 pagi.
“Untuk umat Islam, MBSA turut mengadakan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Al Munawwarah, Seksyen 27 pada pukul 8 malam.
“Program sukan lain yang akan diadakan adalah Kejohanan Dart Terbuka di Dewan Bankuet Pejabat Cawangan Setia Alam pada 27 Oktober bermula pukul 8.30 pagi,” ujarnya.
Bagi melengkapkan sambutan ulang tahun ke-18 bandar raya Shah Alam, MBSA turut mengadakan program Petik Sayur Sendiri Dari Ladang pada 28 Oktober ini di Kebun Komuniti Seksyen 24 bermula pukul 8 pagi.
Selain itu penutup acara akan berlangsung aktiviti kesenian iaitu Lepak Seni di Kedai Kopi Taman Tasik bermula 5 petang sehingga 7 malam. – UTUSAN ONLINE











