Lelaki mengaku ugut bunuh keluarga kekasih - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku ugut bunuh keluarga kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Gara-gara tidak berpuas hati dengan abang teman wanitanya, seorang pembantu jualan di sebuah syarikat telekomunikasi yang dalam keadaan mabuk bertindak mengugut bunuh tiga ahli keluarga kekasihnya itu dengan sebilah parang, empat bulan lalu.

Atas perbuatannya itu, M. Dhana Raj, 25, hari ini didenda RM6,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini setelah mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Rasmi 11, Taman Rasmi Jaya dekat sini kira-kira pukul 2.15 petang, 11 Mei lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Dhana Raj didakwa mengugut bunuh terhadap abang dan ibu bapa teman wanitanya iaitu A. Tinesh, 28, P. Sarsa, 55 serta P. Aramugam, 56, dengan mengeluarkan kata-kata “… akan potong kamu semua jika kamu keluar rumah” sambil menunjukkan sebilah parang kepada kesemua mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, kesemua mangsa yang ketika itu berada di dalam rumah telah terdengar jeritan tertuduh. Mereka kemudian terlihat tertuduh dalam keadaan mabuk sambil memegang sebilah parang dan memaki hamun serta turut menendang pintu pagar rumah.

Abang kepada kekasih tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian telah membuat laporan polis kerana bimbang dengan tindakan tertuduh itu. Kejadian dikatakan berpunca apabila tertuduh tidak berpuas hati dengan Tinesh.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini