Penerbangan dari klia2 ke Lapangan Terbang Velana, Maldives memakan masa empat jam setengah.
Sebaik sahaja tiba pada pukul 8.30 malam, kami terus menaiki feri ke Male dengan tambang RM4.10 (AS$1).
Agak malang apabila kami terlepas menaiki feri ke Pulau Maafushi kerana perjalanan ke pulau itu hanya sekali dalam sehari iaitu pukul 2.30 petang.
Pilihan lain adalah menggunakan perkhidmatan bot laju dengan tambang RM103.25 (AS$25) seorang.
Perjalanan dari Male ke Pulau Maafushi mengambil masa 40 minit.
HARI KEDUA
Sebelum meneruskan hasrat untuk melakukan selam skuba, kami meninjau harga pakej yang ditawarkan. Ketika inilah, kita perlu bijak memilih. Yuran tidak terlalu mahal tetapi perlu dibayar dalam dolar AS.
Selesai buat tinjauan harga, kami mencari tempat untuk memasang khemah.
Kami tidak bercadang untuk menginap di hotel sehingga hari terakhir percutian, sebaliknya bermalam di dalam khemah untuk menjimatkan kos.
Namun, khemah tidak boleh sewenang-wenangnya dipasang di mana-mana kawasan pulau. Ia hanya dibenarkan didirikan dekat kawasan pantai sahaja.
HARI KETIGA
Seperti yang telah dirancang, kami datang ke Maldives kerana mahu melihat ikan jerung dan yu paus dengan lebih dekat.
Namun kami berasa agak kecewa kerana aktiviti melihat ikan itu terpaksa ditangguhkan kerana tidak cukup kuota pelancong untuk membawa kami menyelam di kawasan yang terdapat ikan tersebut.
Tidak mahu masa lapang disia-siakan, kami meneruskan aktiviti selam skuba ‘fun dive’ dan ‘boat dive’ di Furafathi Reef.
HARI KEEMPAT
Selepas mendaftar keluar dari hotel, kami mendirikan khemah dekat kawasan pantai di Sunrise. Kami bermalam di situ sehingga hari terakhir percutian.
Hasrat untuk melihat ‘ikan idaman’ masih tidak kesampaian. Pengendali perkhidmatan skuba dan snokerling memaklumkan kuota masih belum cukup.
Namun, mereka gantikan dengan aktiviti menyelam di Lhosfushi Kandu, Vilivaru Giri di Pulai Guraidho dan Kuda Giri Wreck, Anantara.
Aktiviti skuba agak mengujakan. Kami terserempak dengan hidupan laut yang unik seperti ikan pari mantaray dan ikan napoleon yang besar.
Selain itu, kami juga meninjau sebuah kapal karam di dasar laut di Kuda Giri Wreck.
HARI KELIMA
Akhirnya aktiviti yang dinanti tiba. Pengendali perkhidmatan skuba dan snokerling memaklumkan kuota untuk snokerling bersama yu paus sudah mencukupi.
Tidak melepaskan peluang keemasan itu, seawal pagi kami bertolak ke Pulau Maminggili.
Perjalanan ke sana mengambil masa 1 jam 45 minit. Kami perlu melepasi Pulau Ari Atoll dan menempuh laut lepas untuk sampai ke sana.
Agak mencabar perjalanan ini. Ombak agak besar sehingga menyukarkan pergerakan bot.
Sebaik sahaja tiba, kami terus bersiap untuk menyelam.
Ya, kami benar-benar teruja! Ada tiga ekor ikan yu paus berenang dekat kami. Anggaran saiz ikan itu adalah enam, tujuh dan sembilan meter. Bayangkan saiz ikan itu bersamaan dengan sebuah bas ekspres.
Walaupun terpaksa berenang dalam arus laut yang agak deras, namun kami puas hati. Kami singgah di Pulau Dhigurrah untuk makan tengah hari dalam perjalanan pulang.
HARI KEENAM
Percutian kami turut diserikan dengan sambutan hari ulang tahun kelahiran Yurid pada hari ini.Kami meraikannya dengan aktiviti selam skuba di Kandooma Caves. Pengendali skuba memaklumkan kami mungkin berpeluang melihat jerung di dalam gua.
Namun, yang ditemui adalah belut moray, lionfish dan ikan kerapu gergasi. Tidak kelihatan kelibat sang jerung.
Kemudian kami meneruskan aktiviti skuba di Medhu Faru, Pulau Lhosfushi untuk melihat ikan pari mantaray.
Ikan pari jenis itu sangat besar dan saiznya lebih semeter. Selepas itu, kami meneruskan aktiviti skuba di Bathi Faru.
HARI KETUJUH
Tidak banyak aktiviti dapat dilakukan pada hari ini kerana cuaca kurang baik.
Justeru, kami melakukan aktiviti menyelam di Dhigu Thila dan Miyaru Faru di Pulau Ghuli. Namun agak mengecewakan kerana pemandangan dalam laut gelap.
Pada waktu malam, khemah kami nyaris rosak selepas dibadai hujan dan angin kuat.
HARI KELAPAN
Mengujakan! Tarikh ini adalah ulang tahun perkahwinan kami.
Sambil berbusana pengantin, kami melakukan aktiviti skuba di Kandooma Thila. Ketika menyelam dan bergambar, kami dikelilingi jerung terumbu kelabu (grey reef shark).
Kami juga mengambil peluang untuk skuba pada waktu malam. Memang mendebarkan kerana kehadiran kami ‘disambut’ oleh ikan pari gergasi serta jerung spesies, nurse shark.
Kami mengambil langkah berjaga-jaga kerana jerung spesies itu mudah menyerang, lebih-lebih lagi apabila diprovok.
HARI KESEMBILAN
Sepanjang di Maldives, kami mencatatkan setiap aktiviti. Keseronokan sukar digambarkan.
Pada hari terakhir di Maldives, kami tidak dibenarkan menyelam dalam tempoh 18 jam sebelum menaiki kapal terbang.
Justeru, kami bersiap untuk ke Male. Kami menggunakan khidmat bot laju kerana hari Jumaat adalah cuti rehat di Maldives. Sementara menunggu penerbangan, kami singgah di hotel Hulhule Island.
Kami berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan pada pukul 8.30 malam dan tiba di klia2 pada pukul 6.30 pagi, keesokan harinya.











