JUARA dunia 2017, Cheong Jun Hoong meramalkan masa depan cerah buat skuad terjun kebangsaan jika bakat baharu terus digilap, sekali gus mengurangkan tradisi ‘kitar semula’ yang sering berlaku pada kebanyakan kejohanan.
Penerjun berusia 28 tahun yang sedang menjalani proses pemulihan bagi memulihkan kecederaan lutut kiri itu sempat meluangkan masa selama dua hari bagi melihat bakat-bakat muda pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak minggu lalu.
Biarpun pingat emas temasya itu masih didominasi penerjun kebangsaan, namun atlet kelahiran Perak itu yakin kehadiran muka-muka baharu memberi petanda positif kepada sukan tersebut.
“Saya hanya sempat menyaksikan pertandingan terjun Sukma Perak selama dua hari kerana saya perlu kembali ke Kuala Lumpur bagi menjalani rutin pemulihan lutut kiri.
“Bagaimanapun, saya nampak mereka sangat berpotensi untuk digilap. Setiap penerjun muda ini boleh pergi jauh sekiranya mereka memiliki jurulatih yang bagus, komited dan bertanggungjawab sepanjang pembangunan karier mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Terdahulu, Jun Hoong terpaksa mengundur diri daripada mewakili negara di pentas Sukan Asia 2018 di Indonesia ekoran kecederaan lutut kiri yang dialaminya kira-kira 10 tahun lepas kembali menghantuinya.
Jun Hoong dipantau rapi Pengarah Bahagian Perubatan Institusi Sukan Negara, Dr. Arshad Puji yang menasihatinya untuk memberikan tumpuan pada pemulihan selama enam hingga sembilan bulan.
“Proses pemulihan lutut kiri berjalan seperti yang dijadualkan. Buat masa ini, doktor meletakkan sehingga enam bulan dulu sebelum keputusan sama ada perlu sambung rawatan atau kembali ke kolam renang,” ujarnya.











