DALAM sebuah restoran di Shanghai, China, satu robotik kecil yang membawa bekas kaca bergerak ke sebuah meja.
Sebaik sampai ke meja itu, bekas kaca tersebut terbuka dengan sendiri, sekali gus tersedia sepinggang hidang di dalamnya.
“Nikmati hidangan anda,” itulah nada suara yang dihasilkan oleh robotik kecil yang menjalankan tugas sebagai pelayan di restoran tersebut.
Konsep restoran futuristik yang menggunakan robotik sebagai pelayan adalah satu inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh syarikat gergasi e-dagang China iaitu Alibaba.
Robotik yang dilengkapi dengan platform kecerdasan buatan (AI) telah diintegrasi ke dalam dunia perdagangan untuk bidang perkhidmatan dan peruncitan.
Pengurus Produk Alibaba, Cao Haitao menjelaskan, objektif utama penggunaan robotik di restoran adalah untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos buruh.
Jelasnya, para pelayan di restoran telah digantikan dengan robot.
“Di Shanghai, kos untuk membayar seorang pelayan boleh mencecah sehingga 10,000 yuan (RM6,000) sebulan. Kadangkala restoran memerlukan lebih ramai pekerja untuk dua waktu kerja yang berbeza.
Daripada jumlah itu, setiap restoran harus menanggung kos yang tinggi setiap tahun.
“Namun, dengan menggunakan robot seperti ini, ia boleh bertugas setiap hari sepanjang masa,” katanya.
Rancangan
Sementara itu, pesaing Alibaba iaitu JD.com juga telah mengumumkan rancangan untuk membuka lebih 1,000 restoran pada tahun 2020. Makanan akan disedia dan dihidangkan oleh robot.
JD.com juga merancang untuk menggunakan dron ke dalam rangkaian perkhidmatan penghantaran mereka.
Penggunaan robot bagi menggantikan kerja manusia bukanlah sesuatu yang asing lagi.
Beberapa tahun lalu, banyak syarikat telah menjadikan teknologi robot sebagai tenaga kerja mereka.
Pihak pengurusan Bank St. Galler Kantonal (SGKB) misalnya telah membuat satu transformasi dengan menggantikan tugas tujuh orang pekerjanya dengan lima unit robot yang dikatakan boleh membantu mempercepatkan aliran kerja dengan lebih efektif.
Pengurus Besar SGKB, Felix Buschor berkata, projek perintis yang dilaksanakan oleh syarikatnya itu membolehkan robot tersebut melaksanakan tugasan seperti pekerja manusia. Namun, ia boleh bekerja sehingga 24 jam seminggu tanpa henti, sekali gus meningkatkan produktiviti.
“Para pekerja juga risau akan kehilangan pekerjaan apabila robot mengambil alih tugas mereka. Bagaimanapun, pekerja tidak perlu risau kerana kini mereka boleh bekerja bersama teknologi baharu,” katanya.
Tambahnya, ujian terhadap robot tersebut telah dijalankan pada tahun lalu dan pihak SGKB juga berhasrat untuk mengambil lebih banyak robot bagi tujuan demikian.
Baru-baru ini, agensi berita AFP melaporkan, berdasarkan kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF), robot akan mengambil alih 52 peratus tugas pekerjaan masa kini menjelang tahun 2025 dan jumlah itu adalah peningkatan hampir dua kali ganda berbanding sekarang.
Peningkatan pesat itu juga dilihat bakal memberikan peranan baharu kepada manusia. Namun, mereka harus meningkatkan kemahiran seiring dengan gelombang peralihan tersebut yang akan mengubah cara manusia bekerja dengan mesin dan program komputer.
“Menjelang tahun 2025, lebih separuh tugas di tempat kerja akan dilakukan oleh mesin berbanding 29 peratus pada masa sekarang,” kata WEF dalam satu kenyataan.
WEF yang merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dari Switzerland meramalkan, perubahan pesat dalam teknologi mesin dan pemprosesan komputer yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah dijangka mencipta 133 juta peluang pekerjaan baharu bagi menggantikan 75 juta pekerja yang akan hilang pekerjaan mulai sekarang hingga tahun 2022.
Berpangkalan di Geneva, WEF dikenali kerana menganjurkan persidangan tahunan di Davos, Switzerland yang dihadiri oleh individu kaya, ahli politik dan pemimpin perniagaan.
Dalam pada itu, laporan bertajuk The Future of Jobs 2018 juga meramalkan bahawa robot akan mengambil alih peranan manusia dalam bidang perakaunan, pengurusan pelanggan, perindustrian, pos serta kesetiausahaan.
Bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran manusia pula seperti jualan, pemasaran dan khidmat pelanggan bakal menyaksikan lebih banyak peluang terbuka di samping sektor e-dagang dan media sosial.
Namun, menurut kajian itu, cabaran besar adalah untuk melatih semula pekerja. Selain itu, mereka juga tertekan untuk meningkatkan kemahiran terutamanya dalam aspek kreativiti, pemikiran kritikal dan rundingan.
Sementara itu, pada tahun lalu portal berita BBC melaporkan, sebuah syarikat insurans di Jepun telah memberhentikan 32 kakitangan mereka bagi menggantikan tenaga kerja manusia dengan satu sistem AI yang mampu mengira jumlah tuntutan yang perlu dibayar kepada pelanggan.
Syarikat tersebut iaitu Fukoku Mutual Life Insurance menjelaskan, penggunaan sistem AI adalah 30 peratus lebih produktif berbanding manusia di samping menjimatkan kos syarikat untuk membayar gaji pekerja.
Teknologi kognitif
Akhbar Jepun, The Mainichi melaporkan, sistem AI yang memiliki keupayaan teknologi kognitif menyerupai manusia itu telah dibangunkan oleh syarikat IBM Japan Ltd. (IBM).
“Sebagai contoh, sistem AI ini mampu menganalisis data pelanggan dengan membaca rekod perubatan, pembedahan dan tempoh rawatan di hospital bagi menentukan jumlah tuntutan,” kata IBM.
Sementara itu, Profesor Robotik di Universiti Jiaotong Shanghai, Wang Hesheng berkata, kos robot masih terlalu tinggi untuk kegunaan pengguna yang meluas.
“Namun, robot boleh menjadi pengganti jika kos buruh terus berkembang di China terutamanya.
“Mungkin apabila kos tenaga kerja meningkat lebih tinggi, robot akan mengimbangi dengan manusia,” katanya.
Dalam pada itu, salah satu isu besar yang hangat dibincangkan di WEF adalah tentang platform AI yang menghasilkan robot-robot canggih sehingga memberi kesan kepada kehidupan manusia.
Penghasilan robot-robot akan membunuh banyak peluang pekerjaan kerana pada masa akan datang kebanyakan kerja akan dilakukan oleh mesin.
Pengasas Alibaba Group, Jack Ma yang mengakui perkara tersebut menyuarakan kebimbangan beliau.
“Saya fikir, AI harus menyokong manusia. Teknologi harus sentiasa melakukan sesuatu yang membantu orang ramai dan bukannya menjadikan mereka lemah,” kata Ma.
Menjelang tahun 2025, robot akan mengambil alih 52 peratus pekerjaan manusia pada masa kini.











