KUALA LUMPUR 28 Sept. – Penduduk dari beberapa taman perumahan di sekitar Bukit Sentosa, Rawang, Selangor berharap ada pihak sudi untuk membantu menyiapkan projek pembinaan sebuah masjid bagi menampung keperluan kira-kira 30,000 orang beragama Islam.
Pengerusi Projek Pembinaan Masjid Bukit Sentosa 3, Meor Samsudin Meor Hassan berkata, pembinaan masjid di atas sebidang tanah seluas kira-kira 1.2 hektar itu sudah pun mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2011 dan kelulusan permohonan kebenaran membuat kutipan pada 2015.
Menurutnya, kos bagi pembinaan masjid berkenaan dianggarkan kira-kira RM10 juta, namun sehingga kini pihaknya hanya mampu mengumpulkan RM120,000.
“Buat masa ini kita buat kutipan di pasar-pasar malam dan menerusi tabung masjid serta surau,” katanya kepada Utusan Online, di sini malam tadi.
Difahamkan dengan siapnya masjid itu nanti mampu digunakan oleh kira-kira 30,000 orang penduduk dari enam taman perumahan berhampiran.
Kedudukan tapak adalah kira-kira sembilan kilometer dari Masjid Assalam dan empat kilometer dari Masjid Saidina Ali sedia ada, justeru memerlukan pembinaan sebuah masjid baharu.
Lokasinya juga bersebelahan sebuah sekolah rendah agama yang menempatkan kira-kira 1,100 orang murid.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 12010001805710 atas nama Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bukit Sentosa 3.
Mereka juga boleh hubungi Meor Samsudin di talian 013-2343306 atau layari Facebook Projek Masjid Bukit Sentosa III. – UTUSAN ONLINE











