KUALA LUMPUR 27 Sept.– Adakah mereka kebal atau dilindungi.
Itu persoalan yang timbul apabila difahamkan sebuah gudang penyimpanan kepak ayam terus beroperasi sejak 30 tahun di Miri, Sarawak meskipun perniagaan tersebut dijalankan secara haram.
Lebih mengejutkan, kegiatan didalangi individu bergelar Datuk Seri itu tidak pernah diserbu oleh mana-mana pihak meskipun kepak-kepak ayam berkenaan diseludup dari negara jiran yang mana penyembelihannya diragui dan dipasarkan di Sarawak serta Sabah.
Bagi melancarkan proses membawa masuk kepak-kepak ayam ke negara ini sebelum di simpan ke gudang berkenaan, Datuk Seri terbabit didakwa telah membayar penguat kuasa-penguat kuasa di pelabuhan dan pintu-pintu sempadan antara Malaysia dan Brunei.
Walau bagaimanapun, ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan itu.
Menurut sumber, hasil maklumat dan risikan, serbuan telah dilakukan oleh SPRM bersama-sama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri petang ini.
Ujarnya, Datuk Seri terbabit bukan sahaja menyeludup masuk kepak-kepak ayam tetapi pelbagai barangan lain seperti beras, rokok dan arak sebelum disimpan di gudang-gudang miliknya.
“Hampir semua penguat kuasa dibayar oleh suspek sehinggakan ada segelintir daripada mereka yang takut untuk mengambil tindakan meskipun barangan tersebut dibawa keluar dari pelabuhan secara terang-terangan.
“Barangan-barangan tersebut juga dikatakan hanya mengguna dokumen delivery order (DO) ‘koboi’ tanpa mengisytiharkan cukai barangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber, SPRM kini sedang menyiasat sejauh mana penglibatan Datuk Seri terbabit dalam kegiatan tersebut.
“Ini kerana Datuk Seri itu dikatakan telah memonopoli aktiviti berkenaan di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama,” katanya.











