NEW YORK – Malaysia masih mengkaji kebaikan dan keburukan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, CPTPP adalah perjanjian perdagangan yang dirundingkan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) setelah Amerika Syarikat (AS) menarik diri.
Pada sesi pertemuan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR) di New York pada Rabu, beliau menjelaskan bahawa rundingan mengenai TPP telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini yang mana beliau tidak terlibat.
“Saya menentang perjanjian perdagangan ini kerana ia bukan perjanjian perdagangan yang adil kerana memberi kuasa kepada syarikat untuk menyaman kerajaan untuk kehilangan keuntungan masa depan dan perkara-perkara seperti itu.
“Saya fikir ia terlalu berbahaya untuk dikaitkannya dengan negara-negara kecil,” kata Perdana Menteri yang berada di New York dalam lawatan kerja selama lima hari yang mana beliau akan menghadiri sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).











