Levi: Timbang semula tempoh bayar - Utusan Malaysia

Levi: Timbang semula tempoh bayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Persekutuan Pe­kilang-pekilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan mempertimbangkan tempoh pembayaran levi bagi lanjutan pekerja asing bernilai RM10,000 kepada tiga tahun daripada hanya setahun.

Presiden FMM,­ Datuk Soh Thian Lai berkata, pertimba­ngan cadangan itu mengambil kira ma­jikan mungkin tidak dapat mengekalkan pekerja asing berkemahiran mereka, malah terpaksa mencari tenaga kerja baharu.

“Sangat sukar bagi majikan untuk menanggung kos ini. Oleh itu, kami ingin mencadangkan kerajaan supaya melanjutkan tempoh bayar kepada tiga tahun. Ini akan membolehkan majikan mengawal kos dengan lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini membantu majikan me­ngekalkan pekerja berkemahiran bagi meningkatkan produktiviti dan pulangan. Sebaliknya, jika tempoh itu dikekalkan, majikan akan berdepan gangguan yang membawa kepada dilema,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan FFM Industri 4.0 2018 di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perda­gangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pekerja asing yang berkhidmat lebih 10 tahun di negara ini perlu membayar 80 peratus levi atau RM8,000, sementara 20 peratus atau RM2,000 ditanggung majikan.

Bagaimanapun pada Selasa, kerajaan membuat pusingan U apabila memutuskan untuk kembali kepada struktur lama pembayaran levi bagi lanjutan permit pekerja asing iaitu maji­kan perlu membayar sepenuh­nya levi berke­naan.

Sekiranya tidak, majikan perlu menghantar pekerja asing pulang dan menggaji mereka sebagai pekerja baharu, yang mana mereka hanya membayar levi sebanyak RM1,850 setahun.

“Dengan kembalinya ke struktur asal, maka levi RM10,000 setahun dibayar sepenuhnya oleh majikan. Ini adalah untuk mereka yang memohon lanjutan bagi bekerja selepas tempoh 10 tahun. Bagi tempoh sebelum 10 tahun yang melibatkan bayaran RM1,850 setahun, tiada masalah.

“Ini berdasarkan pandangan daripada pihak kesatuan sekerja yang mengatakan mereka tidak mampu membayarnya. Jadi kita menerima pandangan ini dan semua levi RM10,000 setahun kita minta majikan bayar kerana pekerja tidak dapat bayar,” kata Guan Eng.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini