Najib dakwa Guan Eng takut populariti terancam - Utusan Malaysia

Najib dakwa Guan Eng takut populariti terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept.- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berasa bimbang dengan kemerosotan populariti.

Ini berikutan kenyataan Guan Eng bahawa beliau mungkin akan menjadi menteri kewangan paling tidak popular dalam sejarah negara di tengah-tengah jangkaan apa yang akan diumumkan dalam bajet November ini.

“Pagi ini, Guan Eng merengek bahawa dia mungkin akan diingati sebagai menteri kewangan paling tak popular dalam sejarah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini berikutan Bajet 2019 yang akan dibentang tidak lama lagi akan memotong banyak bantuan untuk rakyat ataupun mengenakan lebih banyak cukai baharu dengan alasan hutang negara RM1 trilion rekaan kerajaan PH perlu dilangsaikan,” kata Najib dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Guan Eng hari ini berkata, Bajet 2019 merupakan bajet yang sukar dan beliau akan menjadi menteri kewangan paling tidak popular kerana tidak mempunyai buah tangan untuk diberikan kepada rakyat.

Dalam temubual yang disiarkan dalam portal berita Malaysiakini, Guan Eng berkata, kerajaan akan menyaksikan pengorbanan dari rakyat Malaysia yang sudah biasa untuk mendapatkan buah tangan ketika bajet.

Menurut Guan Eng, pengorbanan itu perlu untuk membantu mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion supaya Malaysia dapat kembali ke landasan yang betul dalam tempoh tiga tahun.

“Selama sembilan tahun di bawah kerajaan BN pimpinan saya, saya tidak pernah meminta rakyat untuk berkorban. 

“Ekonomi semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah. Tiba-tiba apabila kerajaan PH mengambil alih dan mengubah polisi ekonomi Malaysia secara dasar, mereka mahu rakyat untuk bersedia berkorban,” kata Najib dalam Facebook beliau hari ini.

Najib mendakwa, masalah ekonomi yang dihadapi negara kini berpunca daripada langkah yang diambil selepas Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu memberi tempoh tiga bulan sifar cukai tanpa GST ataupun SST, menggantikan GST dengan SST, mengembalikan subsidi pukal dan pembatalan projek-projek secara meluas.

“Kerajaan PH perlu terima hakikat bahawa polisi-polisi dan langkah-langkah sendiri yang telah menukar halatuju ekonomi kepada arah yang lebih teruk dan akhirnya mahu rakyat berkorban ekoran dasar teruk itu.

“Kini kita ada menteri kewangan yang takut popularitinya terancam dan satu kerajaan yang minta rakyat untuk berkorban oleh kerana langkah-langkah regresif mereka,” kata Najib.

Sementara itu dalam hantaran berlainan, Najib berkongsi gambar beliau menghantar ibunya Tun Rahah Mohamed Noah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tun Rahah akan  berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah hari ini.-UTUSAN ONLINE  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini