Tuntutan elaun palsu pilihan raya : 2 pegawai RELA tidak mengaku salah - Utusan Malaysia

Tuntutan elaun palsu pilihan raya : 2 pegawai RELA tidak mengaku salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 27 Sept. – Dua Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Simunjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini, atas dakwaan membuat tuntutan elaun palsu bernilai RM36,352 semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada empat tahun lalu.

Tertuduh pertama, Ahmad Adeni, 32, yang juga memangku jawatan Pengarah RELA Daerah Simunjan dan rakan subahatnya, Mohd Zairoolzaman Zaini, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bertindak mengelirukan prinsipal dengan mengemukakan dokumen tuntutan elaun petugas RELA Dewan Undangan Negeri (DUN) 21 (Simunjan), DUN 22 (Sebuyau), DUN 23 (Balai Ringin) bertarikh 7 hingga 29 April 2012 dan senarai kehadiran petugas peti undi di tiga DUN terbabit pada bulan sama bernilai RM36,352 sedangkan tiada anggota RELA bertugas pada ketika itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahmad dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Mohd Zairoolzaman yang didakwa bersubahat bersamanya turut dituduh mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama iaitu dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan tertuduh diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula, manakala perbicaraan pada 10 hingga 14 Disember nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini