Bajet: Saya tidak pernah minta rakyat berkorban - Najib - Utusan Malaysia

Bajet: Saya tidak pernah minta rakyat berkorban – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept.- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sepanjang memimpin Malaysia dan menjadi Menteri Kewangan tidak pernah sekali beliau meminta rakyat untuk berkorban ketika pembentangan bajet.

Mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menjangka akan menjadi menteri kewangan paling tidak popular disebabkan pembentangan Bajet 2019, Najib berkata, kerajaan kini menghadapi masalah ekonomi akibat langkah-langah yang diambil termasuk menggantikan GST dengan SST sehingga mengakibatkan kehilangan RM40 bilion.

Begitu juga dengan pembatalan projek secara meluas yang merendahkan kadar pertumbuhan ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi lebih senang untuk mereka menuding jari kepada kerajaan lama dan saya dengan cerita hutang RM1 trilion. Saya juga pasti bahawa Bajet 2019 akan merupakan bajet defisit. 

“Ini bermakna hutang negara akan bertambah dan bukan dikurangkan. Guan Eng sudah memberi gambaran ini akan berlaku kerana sejak minggu lalu, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menerbitkan lebih banyak bon kerajaan. Menerbitkan bon maksudnya meminjam wang. Dan ini adalah hutang,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Guan Eng hari ini berkata, Bajet 2019 merupakan satu bajet yang sukar dan beliau akan menjadi menteri kewangan paling tidak popular kerana tidak mempunyai buah tangan untuk diberikan.

Dalam temubual bersama Malaysiakini, Guan Eng berkata, kerajaan akan menyaksikan pengorbanan dari rakyat Malaysia yang sudah biasa untuk mendapatkan buat tangan.

Menurut Guan Eng, pengorbanan itu perlu untuk membantu mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion supaya Malaysia dapat kembali ke landasan dalam tempoh tiga tahun.

“Selama 9 tahun di bawah kerajaan BN pimpinan saya, saya tidak pernah meminta rakyat untuk ‘berkorban.’ 

“Ekonomi semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah. Tiba-tiba apabila kerajaan PH mengambil alih dan mengubah polisi ekonomi Malaysia secara dasar, mereka mahu rakyat untuk bersedia berkorban,” kata Najib dalam Facebook beliau hari ini.

Najib mendakwa, Malaysia kini mempunyai menteri kewangan yang takut populariti terancam dan mempunyai kerajaan yang meminta rakyat berkorban kerana langkah-langkah regresif yang diambil.

Sementara itu dalam hantara berlainan, Najib mengantar ibunya Tun Rahah Mohamed Noah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah.-UTUSAN ONLINE  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini