PEKAN 27 Sept. – Pengeluar komponen kenderaan Jerman, ZF Chasis Systems Sdn. Bhd. (ZF) membuka kilang keduanya di negara ini selepas di Kulim, Kedah pada 2013.
Pengurus Besar ZF, Glenn Todd berkata, daerah ini menjadi destinasi kedua pilihan syarikat berkenaan bagi mengukuhkan komitmennya terhadap pasaran ASEAN.
Beliau berkata, pembinaan kilang membabitkan kos RM48 juta itu bermula pada Mac tahun lalu dan siap sepenuhnya Disember lepas.
“Kita hanya mengambil masa tujuh bulan bagi menyiapkan kilang kedua ini.
“Dengan kawasan seluas lebih daripada 13,000 meter persegi, kilang baharu di Pekan ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran sistem ZF di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian kilang itu yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff.
Yang hadir sama Ketua Sistem Casis BU dan Naib Presiden Kanan, Carlos Delich dan Ketua Sistem Casis BU bagi Serantau, Asia Tenggara, India dan Pasifik, Thinus Steyn. – UTUSAN ONLINE











