Khalid, Ezam bertanding di Port Dickson? - Utusan Malaysia

Khalid, Ezam bertanding di Port Dickson?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim antara disebut-sebut akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Abdul Khalid, 72, akan bertanding di bawah tiket Pas dan dilihat sebagai calon yang mampu mencabar populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rekod bersih dan prestasi cemerlang yang dipegang oleh Abdul Khalid sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor dari 2008 hinga 2014 adalah sandaran terbaik untuk berdepan dengan pengaruh Anwar sebagai pelopor gerakan reformasi di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua mereka walaupun pernah berada di dalam parti yang sama iaitu PKR, tetapi mempunyai gaya kepimpinan yang berbeza.

Seorang lagi calon dikatakan bakal bertanding ialah seorang lagi bekas pemimpin reformasi Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang akan menggunakan tiket Bebas.

MOHAMED EZAM
MOHD EZAM

Mohd Ezam, 54, dikatakan akan membuat pengumuman malam ini memandang penamaan calon bagi pilihan raya kecil tersebut adalah pada Sabtu.

Ini bermakna PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong, 51, dan calon dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) sah bertanding.

Sebelum ini bekas Setiausaha Agung MIC Datuk S. Kumar turut menyatakan hasrat untuk bertanding, tetapi menarik diri selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari pengundian sementara penamaan calon ialah pada Sabtu.

Wakil rakyat kawasan itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini