SHAH ALAM – Adik ipar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan dan suaminya yang sepatutnya ditahan reman empat hari sehingga hari ini dibenarkan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Ab. Karim Ab. Rahman mengarahkan pasangan suami isteri itu dibebaskan daripada tahanan reman petang semalam selepas mereka ditahan Isnin lalu.
Perintah itu dikeluarkan Ab. Karim selepas menerima permohonan semakan tahanan reman yang dikemukakan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan LS. Leonard yang mewakili pasangan suami isteri berkenaan.
Ab. Karim ketika membuat keputusan itu berkata, tempoh tahanan reman selama empat hari terhadap kedua-dua individu berkenaan adalah terlalu lama dan pihak polis tidak memberi alasan yang kukuh untuk menahan mereka.
“Untuk menahan reman selama itu perlu alasan yang sangat relevan dan kukuh. Alasan yang diberikan pihak penyiasat bersifat umum dan kedua-dua mereka boleh dipanggil untuk diambil keterangan tanpa perlu menahannya selama empat hari.
“Justeru, reman pasangan suami isteri yang sepatutnya berakhir esok (hari ini) ditamatkan pada hari ini (semalam) selepas pukul 5 petang,” katanya pada prosiding kes berkenaan semalam.











