NEW YORK – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal menjadi pemimpin negara tertua yang berucap pada pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini selepas 15 tahun menyampaikan ucapan di podium sama.
Mahathir, 93, akan berucap di pentas berkenaan pada Jumaat ini sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.
Sebelum ini, bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe merupakan pemimpin tertua pernah berucap pada Perhimpunan Agung PBB tahun lalu ketika berusia 93 tahun.
Semasa menghadiri Perhimpunan Agung PBB, Mahathir akan disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Terdahulu, beliau bersama delegasi tiba di sini semalam untuk lawatan kerja menyertai sesi ke-73 Perhimpunan Agung PBB.











