Rayuan kita mungkin ditolak - Utusan Malaysia

Rayuan kita mungkin ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT skuad hoki lelaki negara meraih tiket automatik Sukan Olim­pik 2020 di Tokyo, Jepun tidak kesampaian selepas rayuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkemungkinan besar akan ditolak Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

MHC dikatakan sudah menghantar surat rayuan kepada Persekutuan Hoki Asia (AHF) agar slot Malaysian Tigers dipertimbangkan walaupun muncul naib juara Sukan Asia 2018 memandangkan pemenang pingat emas, Jepun merupakan tuan rumah Sukan Olim­pik 2020.

Difahamkan, AHF juga bersetuju de­ngan pandangan MHC dan telah mengemukakan cadangan kepada badan induk dunia itu untuk memberikan slot kepada skuad negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil memberi bayangan rayuan itu tidak akan diterima berdasarkan peraturan ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia bermula bulan lalu.

“Kami sudah memberikan maklum ba­las dengan menjelaskan sistem kelayakan Sukan Olimpik ditetapkan oleh IOC, bukannya FIH. Jadi ia amat mustahil buat FIH untuk me­ngubah peraturan tersebut.

“Ia tidak adil buat persatuan hoki dari negara-negara dan benua-benua yang lain selepas satu kejohanan pusingan kelayakan telah berlangsung (Sukan Asia 2018),” katanya dipetik daripada laporan akhbar di England, Thehockeypaper.

Selain Malaysian Tigers, nasib sama bakal dialami pasukan hoki wanita India yang terlepas slot automatik kerana meraih pingat perak setelah turut tewas kepada skuad tuan rumah Sukan Olimpik 2020, Jepun pada final Sukan Asia 2018 awal bulan ini.

Seandainya gagal meraih slot automatik, peluang skuad negara ke Jepun belum tertutup kerana masih mempunyai pusingan kelayakan bermula tahun depan walaupun ia dilihat agak sukar.

Sementara itu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal mahu menunggu jawapan rasmi daripada pihak FIH walaupun Weil telah mengeluarkan ke­nyataannya.

“Sebaiknya kita tunggu sahaja jawapan daripada FIH dan AHF. Buat masa sekarang, persiapan skuad negara tetap berjalan seperti biasa dalam misi mencari tempat pada Sukan Olimpik 2020,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini