DUA aksi Kumpulan A Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 16 tahun (B-16) antara Malaysia-Jepun serta Thailand-Tajikistan yang dijadualkan pukul 4.30 petang semalam terpaksa ditangguhkan 11 pagi hari ini ekoran cuaca buruk melanda sehingga lewat petang.
Keputusan penangguhan tersebut dibuat selepas hujan dan kilat terlebih dulu melanda di venue perlawanan Thailand-Tajikistan di Stadium Arena Universiti Malaya, sekali gus memaksa aksi Malaysia-Jepun di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur turut ditangguhkan kerana aksi terakhir peringkat kumpulan perlu dijalankan serentak.
Bagaimanapun Pengurus pasukan B-16 negara, Datuk S. Sivasundaram yakin moral para pemain masih berada pada tahap terbaik meskipun aksi tersebut terpaksa ditunda pada saat akhir.
“Saya percaya moral pemain masih berada pada tahap terbaik biarpun agak sedih kerana mereka ingin bermain hari ini (semalam).
“Apapun kita perlu akur dengan keputusan yang ditetapkan AFC kerana kedua-dua perlawanan ini perlu dijalankan serentak,” katanya di Bukit Jalil semalam.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi laman Twitternya menyeru semua penyokong datang memberikan sokongan kepada skuad negara kerana tiket akan diberikan secara percuma.
“Perlawanan terpaksa ditangguhkan 11 pagi esok (hari ini) dan kemasukan adalah percuma,” katanya menerusi laman Twitter peribadinya semalam.
Kedua-dua perlawanan tersebut terlebih dulu ditangguhkan pada pukul 5 petang dan kemudiaan pada 5.30 petang semalam, namun penundaan terpaksa dilakukan atas faktor keselamatan pemain.
Cuaca hujan yang dilihat berterusan dan tidak menunjukkan sebarang petanda untuk reda menyaksikan aksi tidak dapat dilangsungkan mengikut waktu sepatutnya seterusnya pengumuman rasmi berkenaan penangguhan tersebut dibuat pada pukul 5.50 petang. Namun, tiada perubahan venue dengan aksi Malaysia-Jepun akan berlangsung di Stadium Nasional, manakala aksi Thailand-Tajikistan di Arena Universiti Malaya.











