SAUDARA PENGARANG,
KEMPEN 1 tikus RM3 yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2012 perlu diperluaskan ke seluruh negara. Ia mempunyai pelbagai kebaikan jika dihayati sepenuhnya.
Setakat ini, sebanyak 78,000 ekor tikus telah ditangkap melalui kempen tersebut dan ganjaran RM170,000 telah diberi kepada mereka yang berjaya menangkap haiwan perosak itu.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, ganjaran itu diberi bermula RM1 sahaja tetapi dinaikkan kepada RM3 seekor bermula 2015.
Penyakit kencing tikus yang direkodkan di Kuala Lumpur tahun ini sebanyak 64 kes manakala 160 kes lagi direkodkan pada tahun lepas.
Di negeri lain, walaupun penyakit kencing tikus berlaku di sana sini tetapi tidak ada pihak berminat untuk melancarkan kempen serupa dengan memberi pelbagai alasan.
Bila ada penduduk terkena kes kencing tikus, ada pula pihak tertentu sekadar membuat pengumuman sahaja melalui media massa dengan menyebut ‘beberapa tindakan sedang dilakukan untuk mencegah penyakit itu daripada terus merebak’.
ABD. RAZAK OSMAN
Sungai Petani, Kedah











