LONDON 26 Sept. – Masa depan Paul Pogba di Manchester United semakin samar selepas bintang tengah Perancis itu dilucutkan sebagai naib ketua pasukan.
Pogba bertindak sebagai kapten Red Devils dalam tiga perlawanan Liga Perdana musim ini, selain aksi Liga Juara-Juara ekoran ketiadaan ketua pasukan, Antonio Valencia.
Bagaimanapun, pemenang Piala Dunia itu menimbulkan kemarahan Mourinho selepas lantang mengkritik taktik United ketika seri 1-1 dengan Wolverhampton, Sabtu lalu.
Akhbar Britain, Daily Mirror melaporkan, hubungan Pogba dan pasukan itu semakin dingin selepas dia memberitahu Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward tentang hasratnya menyertai Barcelona.
“Saya pengurus, jadi saya membuat keputusan, tiada perbalahan berlaku, tiada masalah sama sekali.
“Orang yang sama membuat keputusan melantiknya sebagai kapten kedua dan orang yang sama juga melucutkan jawatannya,” kata Mourinho. – AGENSI











