KUALA LUMPUR 26 Sept. – Seorang lagi suspek yang terlibat dalam penjualan minuman keras ‘beracun’ di daerah Sungai Buloh ditahan dalam operasi khas di Seksyen U5, Bandar Suria, Kampung Baru Subang, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam operasi pukul 9 malam itu, lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan bersama-sama 435 botol arak pelbagai jenis dan kuantiti yang ditemukan di premis yang beroperasi di belakang sebuah kedai serbaneka.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu berkata, suspek dipercayai merupakan pemilik premis yang menjual arak tersebut termasuk jenama Grand Royal Whisky.
“Berdasarkan risikan yang dilakukan, premis tersebut telah beroperasi kira-kira tiga hingga empat bulan secara bersembunyi dan hanya berurusan dengan pelanggan yang dikenali.
“Manakala pelanggannya pula terdiri daripada warga asing dengan harga RM8 hingga RM15,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, dekat sini hari ini.
Somu menjelaskan, setakat ini pihaknya telah menahan seorang wanita warga Myanmar kerana menjual arak beracun di kawasan sama dan polis telah merampas sebanyak 190 botol arak pelbagai jenama pada 18 September lalu.
Ujarnya, serbuan ke atas premis tersebut merupakan satu daripada 11 serbuan yang dilakukan pihaknya di sekitar kawasan Sungai Buloh.











